Pelajar MRSM Muar dibentuk jadi usahawan

ANTARA aktiviti jualan pada Program Keusahawanan dan Pendidikan Homeroom Evo di MRSM Muar. – Foto Adi Safri

MUAR: Lebih 600 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar, menyertai Program Keusahawanan dan Pendidikan Homeroom Evo 2017 selama lima hari sehingga Khamis ini.

Program minggu aktiviti MRSM yang dilaksanakan di seluruh negara itu, bagi memupuk semangat keusahawanan dalam diri pelajar dan seterusnya menceburi bidang terbabit sebagai kerjaya pada masa akan datang.

Pengetua MRSM Muar, Shalina Mohamed, berkata pihaknya menerusi Persatuan Usahawan Muda (PUM) menyediakan gerai jualan yang dikendalikan oleh pelajar bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman mengenai selok belok bidang keusahawanan dan perniagaan.

Katanya, lebih menarik, program terbabit turut disertai oleh kakitangan MRSM, orang awam, sekolah berdekatan dan juga pihak ibu bapa khususnya mereka yang tinggal berhampiran dengan MRSM ini.

“Menerusi program ini, kita dapat mendidik pelajar untuk belajar berniaga dengan setiap menu sudah ditetapkan oleh pihak MRSM. Kita mahu mendidik mereka bagaimana mahu mencari modal dan mengurus perniagaan mereka.

“Pihak MRSM Muar juga mahu pelajar mengamalkan bidang keusahawanan ini apabila berada di alam kerjaya kelak. Ini penting kerana bidang terbabit secara tidak langsung boleh mencipta pekerjaan baharu kepada orang lain pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Shaliza berkata, selain itu, program terbabit juga turut menyediakan ruang pameran pendidikan tinggi yang disertai beberapa universiti awam (UA) dan swasta dari seluruh negara seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Management and Science University (MSU).

“Menerusi pameran ini, ia akan memberi ruang kepada pelajar untuk mengetahui kursus yang ditawarkan oleh pihak universiti terbabit, selain mendapat informasi lain seperti kelayakan, mata pelajaran dan perkara lain yang berkaitan.

“Selain itu, pada penutup program ini iaitu pada Khamis ini, kita turut mengadakan program ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Abdullah Khairi,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/07/307095/pelajar-mrsm-muar-dibentuk-jadi-usahawan

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.