Rozaida – Gadis Kuala Kangsar Dibelakang Rekabentuk Produk Givi

Rozaida Ahmad Zaki, 31 tahun, yang mendapat pendidikan di MRSM PDRM, Kulim, Kedah dan kemudian menyambung pelajaran ke UPM Serdang di dalam jurusan Rekabentuk Industri.

Diambil dari careta.my

Kuala Lumpur, 27 Julai – Produk-produk Givi memang terkenal kerana tahan lasak, berkualiti dan memberikan pulangan nilai yang berbaloi, jenama yang bermula dari tahun 1978 ini memang sinonim dengan produk kompatmen menyimpan barang untuk motosikal.

Syarikat tersebut turut menghasilkan aksesori lain seperti pakaian menunggang, sut hujan, helmet, pemegang telefon bimbit/GPS dan sebagainya, malah Givi mempunyai ribuan produk yang dihasilkan mengikut jenis dan model motosikal yang mengikut kehendak pasaran di seluruh dunia.

Untuk Asean, Givi mempunyai  sebuah kilang di Bukit Beruntung, dibawah subsidiarinya Givi Asia Sdn Bhd, ia menghasikan produk-produk berkualiti khusus untuk permintaan tempatan.

 

Pereka bentuk utama Givi Asia kini adalah Rozaida Binti Ahmad Zaki, 31 tahun, yang mendapat pendidikan awal di MRSM PDRM, Kulim, Kedah dan kemudian menyambung pelajaran ke UPM Serdang di dalam jurusan Rekabentuk Industri. 

Mula bertugas di Givi pada tahun 2009, Rozaida berkata tugasnya bukan sahaja untuk merekabentuk produk-produk untuk pasaran tempatan, tetapi untuk membantu Givi Itali dalam rekabentuk komponen bagi produk antarabangsa jenama itu.

“Item pertama yang saya bantu untuk reka ialah windshield atau penghadang angin motosikal,” terang beliau.

Rozaida turut bertanggung-jawab dalam rekabentuk produk-produk popular Givi di dalam negara seperti sut hujan, komponen helmet, pelekat (decal atau sticker) helmet serta beg sisi (pouch atau fanny bag).

Bila ditanya akan kesukaran tugas beliau, Rozaida berkata beliau perlu mengkaji trend pasaran semasa agar produk Givi sentiasa segar.

“Selepas saya membuat kajian saya, kemudian saya akan memulakan proses rekabentuk dan seterusnya kepada pembuatan prototaip dan peringkat ujian,” sambungnya.

“Setiap produk mempunyai cabaran masing-masing, sebagai contoh sut hujan Givi, ia berbeza dari yang direka untuk Eropah kerana cara penggunaan di sana dan di Malaysia berbeza,” kata Rozaida.

Rozaida seterusnya berkata di Eropah, sut hujan hanya perlu kalis air ketika menunggang dan mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti panel pantul cahaya dan warna yang terang.

“Di Malaysia, pengguna sut hujan menggunakan sut hujan walaupun hujan telah lama berhenti. Kerana itu, saya perlu pastikan bahan yang digunakan tahan panas. Ia juga perlu ringan dan mempunyai jahitan benang yang kuat,” kata Rozaida.

Bila diajukan soalan apakah ciri-ciri rekabentuk sebuah produk Givi, Rozaida dengan pantas berkata produk Givi perlu nampak eksklusif dan tidak terlalu garang.

“Kerana itu, barangan Givi jarang mempunyai corak atau warna yang garang,” kata Rozaida ketika ditemui semasa pelancaran kotak barang E32 Bold di Port Dickson semalam.

Harapan Rozaida ialah agar produk-produk keluaran Givi akan terus memberikan keyakinan kepada pengguna.

Rozaida adalah satu contoh yang baik kerana sedar atau tidak, semua pengguna produk automotif terdiri dari pelbagai golongan.

 

This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: