KPTM sumbang bantuan pembelajaran kepada rumah OKU

KAJANG – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hari ini menyerahkan bantuan pembelajaran kepada Rumah Perlindungan Orang Kelainan Upaya (OKU) Taman Sinar Harapan Cheras iaitu bantuan berbentuk komputer untuk penggunaan penghuni di makmal komputer sedia ada.

Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, KPTM juga akan menjadikan makmal komputer di Taman Sinar Harapan sebagai makmal angkat dan membekalkan pensyarah KPTM sebagai tenaga pengajar.

“Makmal komputer tersebut diberi nama Celik IT @LAB KPTM, semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu penghuni di sini untuk lebih celik dalam teknologi maklumat yang kini berada di hujung jari dan memberi manfaat yang sebaiknya.

“Pada masa sama dengan adanya aktiviti sebegini dapat membina jiwa yang lebih prihatin, membentuk sifat ehsan serta empati dalam diri para peserta yang terlibat sama yang terdiri daripada pelajar KPTM.

“Kita mahu pupuk dalam diri mahasiswa mahasiswi ini supaya lebih peka kepada golongan yang kurang kelainan sekaligus membina jatidiri minda kelas pertama”, katanya pada Majlis Perasmian Program CSR Ekspresi Negaraku Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2017.

Program ini adalah anjuran bersama Majlis Amanah Rakyat dan kerjasama agensi dibawah Mara.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar KPTM, Nordin Ahmad; Pengetua Taman Sinar Harapan Cheras, Zulkipli Hashim; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kolaborasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohd Hamizan Nasir; Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Fatimah Binti Ismail dan Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Manusia Mara, Soffian Mustafa.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kptm-sumbang-bantuan-pembelajaran-kepada-rumah-oku-1.709077

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.