Kerjaya berorientasi penerbangan

Latihan praktikal membolehkan penuntut lebih terbiasa komponen dan bahagian kapal terbang.

BIDANG penerbangan bukan sahaja mempunyai publisiti meluas dalam kalangan masyarakat, malah turut dianggap bidang glamor dan berprestij yang menjadi impian, terutama ketika zaman kanak-kanak.

Di samping menjanjikan pendapatan tinggi, perubahan demi perubahan teknologi dalam bidang berorientasikan penerbangan ini turut menjadi daya penarik untuk seseorang itu mendalami dan menceburinya.

UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL Miat) merupakan antara institusi menawarkan program berkaitan khususnya penyenggaraan pesawat dan ini menjadikannya antara kursus pilihan calon-calon yang ingin menyertai Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Selain penyenggaraan pesawat, ia juga menawarkan kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan khusus untuk bakal pengurus yang akan menerajui bidang ini secara total dari logistik kargo sehinggalah pengurusan penumpang dan lapangan terbang.

Dekan UniKL Miat, Prof Datuk Ir Er Dr Mohamad Dali Isa berkata, UniKL Miat mempunyai kemudahan hebat diperakui di dalam dan di luar negara.

“UniKL Miat bukan sahaja mempunyai bengkel sempurna untuk pembelajaran, tetapi mempunyai hangar berpiawaian industri yang dapat menampung atau menyimpan pesawat sebesar Boeing B737-XXX. UniKL Miat juga membenarkan industri seperti Malaysia Helicopter Services (MHS) beroperasi sepenuhnya di salah sebuah segmen hangar di kampus induk yang mana ia memberikan manfaat kepada penuntut supaya dapat mengaplikasikan pengetahuan dipelajari ke atas pesawat sebenar.

“Buat masa ini UniKL Miat mempunyai tiga kursus atau program di peringkat ijazah dan enam lagi peringkat diploma di samping empat kursus di peringkat sijil profesional antarabangsa. Semua kursus ini mengguna pakai kurikulum penyelenggaraan pesawat ‘Part 66’ diiktiraf Agensi Penerbangan dalam atau luar negara sebagai modul asas, kecuali program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan (BAVM),” katanya.

Menurutnya, UniKL Miat juga dibenarkan DCAM dan EASA untuk mengendalikan peperiksaan Lesen Penyelenggaraan Pesawat (Aircraft Maintenance License – AML) bagi pihak mereka.

Dengan adanya pengiktirafan ini, penuntut lulusan UniKL Miat berpeluang mendapatkan kelulusan profesional dengan syarat kesemua peperiksaan modul ditetapkan berdasarkan kategori diambil dan lulus dengan jayanya.

“Kursus ini ditawarkan berdasarkan kurikulum berunsurkan latihan teknikal secara akademik. Prasarana seperti 30 bengkel dan alat bantu belajar terdiri dari komponen, pesawat terbang yang sebenar serta hangar yang menempatkan lebih 21 pesawat terbang pelbagai jenis tidak terdapat di mana-mana IPT lain,” jelasnya lagi.

Kelebihan graduan

Sementara itu, penuntut, Wan Muhammad Hidayat Wan Hasmadi, 20, berkata, pendedahan dengan latihan praktikal membolehkan penuntut lebih terbiasa dengan komponen dan bahagian kapal terbang dan ini menjadi kelebihan mahasiswa UniKL berbanding IPT lain.

“Graduan UniKL diklasifikasikan sebagai graduan bertaraf antarabangsa apabila kejayaan mereka tercatat.

“Kebolehpasaran para graduan Miat luas ke syarikat-syarikat industri. Tambahan pula, UniKL merupakan universiti di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), mahasiswa UniKL diberi peluang memohon pinjaman boleh ubah Mara bagi membantu yuran pengajian sepanjang tempoh belajar di Miat. Bantuan ini sangat membantu saya dan mahasiswa lain untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan,” kata siswa Ijazah Teknologi Kejuruteraan Pesawat Udara (Avionik) yang bercadang meneruskan kerjaya dalam bidang kejuruteraan simulasi penerbangan suatu hari nanti.

Mengaplikasikan pengetahuan dipelajari ke atas pesawat sebenar.

Bagi Nurul Fatihah Mohd Safri, 22, pula mengakui bidang berkaitan penerbangan amat mencabar bagi seorang wanita.

Menyifatkan setiap kerjaya mempunyai cabarannya sendiri, menurut Nurul Fatihah, tidak terkecuali jika menjadi jurutera kapal terbang. Namun apa yang penting, seseorang perlu mempunyai minat mendalam dan buangkan sikap takut mencuba.

“Secara tidak langsung, penglibatan saya dalam dunia penerbangan juga berjaya membuktikan bahawa wanita mampu menggerakkan jentera berat dan besar, malah keupayaan mereka tidak harus dipandang sebelah mata.

“Bagi saya industri penerbangan unik dan berdaya maju untuk mendatangkan pulangan kepada negara. Penerbangan adalah industri yang profesional. Kerjaya dalam bidang penerbangan kini terbuka luas berikutan perkembangan pesat industri penerbangan dalam dan luar negara,” katanya.

Sementelahan menurutnya, terdapat banyak syarikat penerbangan menyediakan peluang pekerjaan sebagai jurutera kapal terbang mahupun helikopter dengan menjanjikan pendapatan cukup lumayan ditambah pelbagai insentif lain, selaras tugas sebagai jurutera yang cukup mencabar dan berisiko tinggi.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kampus/kerjaya-berorientasi-penerbangan-1.708884

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.