Semua guru Tabika KEMAS miliki diploma pada 2020

KUALA LUMPUR: Semua guru di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) KEMAS akan memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang tahun 2020.

Langkah itu bertujuan memastikan Tabika itu terus relevan dan setanding dengan pusat pendidikan kanak-kanak swasta.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media Anugerah Inovasi Mara 2016 di bangunan Mara. – Foto NSTP/ Hafiz Sohaimi

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini, seramai 7,365 guru Tabika KEMAS memiliki diploma, manakala 718 lagi sedang dalam pengajian di universiti awam dan swasta.

Selain itu, katanya, Tabika KEMAS juga diiktiraf sebagai ‘One of Trusted Brand for Preschool Learning Centre’ bagi tahun 2017 oleh Readers Digest Asia.

“Kaedah pemilihan dilaksanakan melalui undian atas talian yang dijalankan kepada 8,000 orang terhadap sistem pendidikan prasekolah di negara ini.

“Pemilihan itu mengambil kira aspek inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial, kebolehpercayaan, kredibiliti serta kebolehfahaman kepada kehendak pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Budiman Mohd Zohdi (BN – Sungai Besar), yang bertanya mengenai pelan jangka pendek dan panjang kementerian dalam memperkasakan peranan Tabika KEMAS.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Tabika KEMAS menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan serta Instrumen Pentaksiran Prasekolah Kebangsaan, yang dibangunkan Kementerian Pendidikan bagi mentaksir perkembangan kanak-kanak.

Transformasi Tabika KEMAS juga katanya, diperkenalkan bagi menambah baik silibus pembelajaran untuk meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

“Pelaksanaan transformasi ini sejajar dengan aspirasi menjadikan Tabika KEMAS sebagai pilihan utama ibu bapa.

“Kita memberi nilai tambah kepada silibus pembelajaran sedia ada melalui tiga modul iaitu penghayatan pendidikan Islam, pemupukan semangat patriotik dan modul keyakinan diri,” katanya.

Ketika ini, Tabika KEMAS mempunyai 11,229 buah kelas di seluruh negara dengan 220,222 murid berusia empat tahun hingga enam tahun.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/07/305959/semua-guru-tabika-kemas-miliki-diploma-pada-2020

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.