KKLW sedia tuisyen percuma

Ismail Sabri (depan, tengah) bersama barisan pelajar yang terpilih mengikuti program Tuisyen Rakyat@KKLW untuk daerah ini.

JERANTUT – Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dijangka akan melaksanakan 162 pusat Tuisyen Rakyat@KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) di seluruh negara melibatkan seramai 16,200 pelajar tahun ini.

Ia terdiri daripada 147 pusat tuisyen untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 15 pusat tuisyen untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Secara keseluruhannya, KKLW dan agensi-agensi di bawahnya mensasarkan sebanyak 550 pusat tuisyen melibatkan 30,000 hingga 35,000 pelajar sehingga tahun ini.

Bagi daerah ini, sebanyak 100 pelajar dari 12 sekolah telah terpilih untuk menyertai tuisyen berkenaan di mana satu majlis pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Jerantut

Majlis tersebut telah disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, di sini.

Ia turut mendapat kerjasama Puteri Umno Bahagian Jerantut dan Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut dalam usaha mengenal pasti pelajar terpilih untuk menyertai program berkenaan bagi daerah ini.

Ismail Sabri berkata, program Tuisyen Rakyat@KKLW merupakan program tuisyen secara percuma kepada pelajar khususnya calon SPM dan UPSR dari keluarga berpendapatan rendah di luar bandar.

Sehingga kini, YPM telah mengendalikan kelas tuisyen percuma kepada 37,925 pelajar kurang berkemampuan luar bandar di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 6,667 pelajar terlibat pada tahun 2013, 9,400 bagi tahun 2014, 8,869 bagi tahun 2015, dan seramai 12,989 pelajar pada tahun lalu.

“Objektif utama dalam melaksanakan program ini adalah meningkatkan tahap penguasaan dan pencapaian akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan.

“Secara tidak langsung ia membantu pelajar mendapat pelajaran tambahan secara percuma di luar waktu pembelajaran rasmi oleh guru-guru pakar,” katanya.

Seramai 100 pelajar dari 12 sekolah di daerah ini terpilih menyertai Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Jerantut.

Menurutnya, pelaksanaan tuisyen di bawah kelolaan YPM mempunyai tiga komponen utama iaitu teknik belajar berkesan, latihan latih tubi dan teknik menjawab soalan peperiksan yang disusun sepanjang 10 pertemuan bagi memastikan pelajar mendapat bimbingan berkesan seterusnya memanfaatkan program tersebut.

“Program ini mencapai kejayaan apabila dapat mempertingkatkan prestasi pelajaran pelajar di seluruh negara.

“Justeru KKLW berharap agar ia dapat membantu meningkatkan tahap pencapaian akademik terutama pelajar yang bakal menduduki SPM dan UPSR pada tahun ini khususnya pelajar luar bandar,” katanya.

Turut hadir majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Pegawai Pendidikan Daerah, Ali Afandi Abdul Majid, Ketua Puteri Umno Bahagian, Norsarfinaz Mohd Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Zakariah Md Sam.

Usaha murni itu mendapat perhatian daripada Celcom Axiata Berhad dengan menaja sepenuhnya dua program tuisyen kelolaan YPM di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong dan MRSM Lenggong pada tahun ini.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kklw-sedia-tuisyen-percuma-1.707061

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.