Dua MRSM baharu beroperasi 24 Julai

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) diiringi oleh Pengerusi Sementara Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Yusof Yacob (dua, kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis SeMARAk Aidilfitri MARA di Ibu Pejabat MARA hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Seramai 365 pelajar tingkatan 1 dan 4 akan memulakan persekolahan di dua buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baharu iaitu MRSM Arau, Perlis dan MRSM Semporna, Sabah yang beroperasi 24 Julai ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua MRSM adalah tanda komitmen MARA untuk memperkasakan pelajar dalam pembangunan intelektual, peningkatan kebolehan dan pembentukan sahsiah terpuji.

“Penambahan MRSM ini menjadikan jumlah keseluruhan MRSM sebanyak 54 buah dengan 35, 000 pelajar termasuk 7,000 pelajar baharu.

“Ia sekaligus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar, serta meningkatkan taraf hidup mereka pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media di Majlis SeMARAk Aidilfitri MARA, di sini hari ini.

Menurut beliau, kementerian akan meneruskan pembinaan MRSM di beberapa negeri lagi seperti Kelantan, Pahang dan Kedah.

“Dalam masa sama kita sedang berbincang dengan agensi dan kementerian lain untuk membuka MRSM di bangunan mereka. Misalnya MRSM Felda, MRSM PDRM dan MRSM Petronas yang akan dibina di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu, katanya, seramai 3,202 pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KTM) telah memulakan pengajian di 24 pusat di seluruh negara bagi sesi Julai 2017.

Dalam perkembangan lain, katanya, setakat Julai 2017, MARA telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM2.1 juta bagi membantu 92 usahawan OKU menjalankan perniagaan mereka.

“Saya percaya ramai lagi usahawan OKU berminat untuk mendapatkan pinjaman. Bagi perancangan seterusnya, MARA akan memperuntukkan RM5 juta bagi membiayai pinjaman usahawan OKU.

“Dengan peruntukan ini, kita harap lebih ramai usahawan OKU dapat menjalankan perniagaan seterusnya menjana pendapatan. Selain itu, kita sedang berbincang untuk adakan program latihan dan kursus khas kepada golongan ini bagi membolehkan mereka berdikari dalam menguruskan perniagaan,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/dua-mrsm-baharu-beroperasi-24-julai-1.705418

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.