MARA Terus Bantu Usahawan Bumiputera OKU

BM1A4501

Menteri KKLW, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob beramah mesra dengan warga OKU yang menghadiri Majlis Semarak Aidilfitri MARA 2017 di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur.

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 19 Julai – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneruskan aspirasi kerajaan dalam membela nasib golongan orang kelainan upaya (OKU) dalam menerapkan semangat keusahawanan dengan menceburi pelbagai bidang perniagaan melalui fasiliti yang telah diwujudkan untuk membantu mereka menjadi usahawan.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Dato’ Seri Ismail Sabri Bin Yaakob, MARA telah mewujudkan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan semangat keusahawanan dikalangan golongan Bumiputera dari pelbagai latar belakang, ini termasuk untuk usahawan wanita dan juga pelajar.

“Agenda untuk memperkasakan usahawan dikalangan golongan OKU Bumiputera yang telah direalisasikan oleh MARA dengan penubuhan Skim Pembiayaan Perniagaan Orang Kelainan Upaya pula adalah tanda komitmen MARA untuk membantu golongan itu untuk mengecapi kejayaan dalam bidang keusahawanan,” ulas beliau.

Ismail Sabri menambah, sehingga Julai 2017 MARA telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM2,133,500.00 kepada 92 orang usahawan melalui skim tersebut, di mana golongan OKU Bumiputera ini menjalankan perniagaan seperti kedai runcit, kedai perabot, kedai makan, kedai jahit, urut refleksologi dan pelbagai perkhidmatan.

“Pembiayaan yang ditawarkan oleh MARA kepada golongan OKU ini adalah sehingga RM50,000.00 dan berkonsepkan Pembiayaan Islam Qardul Hassan yang diwujudkan khas tanpa dikenakan bayaran tambahan, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 15 tahun tanpa jaminan ataupun cagaran, bahkan MARA akan berikan bantuan kepada mereka untuk memastikan perniagaan mereka terus kompetitif,” katanya lagi.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.