23 kampung berentap bagi Anugerah Desa Perdana kebangsaan

Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk Kampung Gemencheh Lama yang muncul Johan Peringkat Kampung Tradisional Negeri Sembilan sempena Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri di Dewan Perdana Tampin hari ini. –fotoBERNAMA

TAMPIN: Sebanyak 23 kampung di seluruh negara meliputi kategori kampung Melayu tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang akan berentap merebut Anugerah Desa Perdana peringkat kebangsaan bulan depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pertandingan itu menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 dan hadiah berbentuk projek yang menyumbang kepada kemajuan kampung bernilai RM600,000 kepada juara.

Tahun ini, sebanyak 582 kampung yang menyertainya di peringkat daerah dan 159 kampung di peringkat negeri.

“Penghakiman dan pemarkahan pertandingan dibahagikan kepada beberapa aspek seperti patriotisme dan kemasyarakatan, kepimpinan dan pentadbiran, pendidikan dan latihan, ekonomi dan keusahawanan, pemerkasaan peranan belia, teknologi maklumat dan komunikasi, kebersihan, kesihatan dan keceriaan kampung serta pengawasan kemudahan asas kampung.

“Semua kampung di negara ini secara dasarnya layak menyertai anugerah ini, namun perlu melalui saringan di peringkat daerah oleh panel penilaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Desa Perdana peringkat negeri-negeri Zon Tengah dan Selatan di sini, hari ini.

Anugerah Desa Perdana merupakan program bagi menyemarakkan pemerkasaan masyarakat adalam kalangan penduduk kampung dan bertujuan melahirkan masyarakat desa berdaya saing, berinisiatif, berilmu, berdikari dan mempunyai disiplin kerja tinggi.

Ia juga bertujuan untuk menyuburkan lagi semangat patriotisme dan nilai-nilai murni serta memastikan kelestarian dalam aspek sosial dan ekonomi kampung.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan hadiah anugerah itu di Kuala Lumpur pada 22 Ogos ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata faktor penentu kejayaan sesebuah kampung, rumah panjang dan institusi masyarakat sangat bergantung kepada kecekapan kepimpinan atau urus tadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan JKKK. Oleh itu, seramai 3,000 JKKK dilibatkan bagi mengikuti kursus Sijil Tadir Urus Desa yang modulnya dilaksanakan oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Sijil akan disampaikan perdana menteri kepada mereka pada 22 Ogos ini,” katanya.

Pada majlis itu, kategori Kampung Tradisional dimenangi Kampung Endah, Sepang selaku johan di Selangor, Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah (Melaka), Kampung Gemencheh Lama, Tampin (Negeri Sembilan) dan Kampung Parit Puteri Menangis, Pontian (Johor) .

Bagi kategori Kampung Orang Asli pula, Kampung Bukit Tadom, Kuala Langat muncul juara di Selangor, Kampung Bukit Kepong, Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Kampung Pengkalan Tereh, Kluang (Johor).

Kesemua johan membawa pulang sijil, piala dan wang tunai RM12,000.

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/23-kampung-berentap-bagi-anugerah-desa-perdana-kebangsaan-149687

— BERNAMA

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.