KPTM mahu tarik pelajar miskin

Sebahagian pelajar mengambil juadah raya di Majlis Sambutan Hari Raya Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu 2017 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPM) kolej itu di Lembah Sireh di Kota Bharu hari ini. – UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU 17 Julai – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) bersedia membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran melalui pengecualian yuran pendaftaran dan kemudahan mendapat pinjaman agar mereka tidak tersisih daripada peluang pengajian ke peringkat tinggi.

Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sehingga kini hanya 3,166 pelajar baharu melaporkan diri bagi kemasukan sesi Julai ke kampus KPTM seluruh negara berbanding bilangan hampir 40,000 calon yang memohon.

Beliau berkata, pihaknya percaya kekangan kewangan menyebabkan pelajar di pedalaman dan miskin bandar takut mendaftar ke program profesional ditawar di KPTM lalu memilih ke aliran percuma seperti pengajian tingkatan enam.

“Kesan kelembapan ekonomi dunia sedikit sebanyak memberi tempias kepada kita khususnya dalam pengambilan pelajar baharu.

“Kita sasarkan pengambilan pelajar untuk sesi Julai sebanyak 5,700 orang tetapi yang melaporkan diri setakat ini di kampus kita di seluruh negara adalah 3,166 orang sahaja.

“Kita akan buat tindakan susulan pergi ke kumpulan sasar dan buat penerangan lebih lanjut khususnya pelajar Melayu yang tercicir di pedalaman dan juga miskin bandar sebab mereka tidak berani datang kerana masalah penajaan sedangkan masih ada peluang melalui pinjaman MARA mahupun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya KPTM Kota Bharu 2017 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPM) kolej itu di Lembah Sireh di sini hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kptm-mahu-tarik-pelajar-miskin-1.503909

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.