Dana khas untuk warga KKLW

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohammad Adam Haikal (dua kanan kerusi roda) dari Rumah Amal Titian Baiti Al Jannah pada majlis UniIKL raya 2017 di UniKL Kampus Kota. – Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd hari ini melancarkan dana ekuiti syariah, PMB Dana Mutiara khusus untuk warga Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan semua agensi di bawahnya.

Pelancaran dana itu disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri, Datuk Alexander Nanta Linggi; Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Bhd (PMB), Datuk Nazim Rahman.

Terdahulu Ismail Sabri ketika berucap berkata, dana itu juga terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan KKLW termasuk peneroka FELCRA dan bekas pelajar MARA.

Katanya, semua pihak yang berminat akan menikmati potongan caj jualan sebanyak 50 peratus jika melabur dalam dana berkenaan hingga akhir tahun ini.

“PMB Dana Mutiara ialah dana ekuiti syariah pertumbuhan dan pendapatan, sesuai untuk mereka yang inginkan pelaburan stabil bagi tempoh masa sederhana hingga panjang.

“Malah ia juga sesuai untuk mereka yang mahu membuat perancangan kewangan bagi persaraan.

“Selain itu, dana ini turut menawarkan perlindungan takaful keluarga berkelompok kepada pelabur yang layak,” katanya.

Pada majlis sama, PMB turut menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai syarikat pengurusan saham amanah paling lama beroperasi di Malaysia bagi kategori perniagaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Bhd, Najmi Mohamed, berkata pihaknya menyasarkan jualan RM100 juta bagi PMB Dana Mutiara hingga akhir Disember ini.

“Dari segi dividen, dari Januari hingga Jun lalu, ia sudah mencatat pulangan sebanyak 9.4 peratus dan untuk Julai-Disember ini kita sasar antara 5-6 peratus,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2017/07/303077/dana-khas-untuk-warga-kklw

This entry was posted in Pelaburan. Bookmark the permalink.