Inisiatif MARA Dalam Mendepani Cabaran Industri 4.0

ROBOTMARA

media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 16 Julai – Majlis Amanah Rakyat amat peka dengan perubahan persekitaran industri dunia, di mana anjakan demi anjakan perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif MARA bagi pembangunan Bumiputera dapat dilaksanakan secara holistik dan efektif.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Industri 4.0 akan memberikan lebih banyak fokus kepada perkara-perkara seperti automasi, pertukaran data dalam teknologi pembuatan yang mana akan merangkumi sistem fizikal dan siber, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan juga pengunaan cloud.

“Untuk berhadapan dengan cabaran Industri 4.0, MARA telah bersedia terutamanya dalam menyediakan tenaga pakar dalam bidang-bidang yang diperlukan, yang mana terdapat 12 kluster utama termasuk automotif, alam bina, bio-perubatan, bioteknologi, kejuruteraan awam, elektrikal, elektronik, seni dan rekabentuk, minyak dan gas, pemprosesan bahan, pembuatan, dan juga mekanikal servis,” kata beliau.

ICOE INFOGRAFIK1

Tambah Ismail Sabri lagi, kini penekanan MARA terhadap pembangunan pendidikan berasaskan Pendidikan Teknikal dan Vokasional tinggi (HTVET) melalui institusi seperti Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) telah membuka peluang kepada lebih 16,574 pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sijil dan diploma, di samping kursus jangka pendek dan kursus lanjutan yang ditawarkan.

“Sehingga kini IKM dan KKTM telah menghasilkan 151,522 graduan yang mempunyai asas yang kukuh dalam bidang teknikal berkaitan industri, yang mana memberi fokus kepada pekerja mahir dan pembentukan teknousahawan yang berdaya saing dalam bidang berteknologi tinggi,” ulas beliau.

Ismail Sabri turut berkata, melalui Industrial Centre of Excellence (ICoE), MARA akan memastikan metodologi pendidikan yang diaplikasikan di dalam IPMa adalah berdasarkan Teaching Factory, yang menyatukan pembelajaran berasaskan industri atau Industrialised Based Education & Training (IBET) sekaligus menempatkan peranan industri di dalam kampus, ini merupakan lonjakan yang akan membantu MARA menghasilkan graduan yang kompeten dengan berkeyakinan tinggi untuk meneroka ke dunia perindustrian yang kompetetif.

“ICoE adalah satu insiatif di mana semua IPMa, khususnya IKM dan KKTM akan sentiasa terkehadapan dalam memperolehi teknologi terkini, di mana ICoE bukan sahaja akan menjadi pusat pembelajaran, tetapi rujukan kepada pihak industri setempat,” kata beliau.

Ulas Ismail Sabri, salah satu objektif ICoE adalah untuk mewujudkan hubungan dan membina jaringan antara pemain-pemain industri dalam dan luar negara seperti Petronas, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), Strand Aerospace Malaysia Sdn. Bhd., National Instruments, Radibems Sdn. Bhd.,SR Scaffold Resources Sdn. Bhd., The Welding Institute South East Asia (TWI), CISCO, UMW Toyota, Construction Industry Development Board Malaysia (CIDB), PROPEL Berhad, SIRIM dan banyak lagi.

Terbaru, MARA turut akan mengadakan program “Industry & Institution Engagement 2017” yang bertemakan “Towards Industrial Revolution 4.0” yang akan diadakan di MARA-Japan Industrial Institute (MJII) Beranang, Selangor pada 3 hingga 4 Ogos 2017, program yang terbuka kepada orang awam ini akan melibatkan rakan-rakan industry MARA seperti SIRIM, SKMM, Telekom Malaysia, MIMOS, HuaWei, National Instruments dan Naico Malaysia, selain itu program ini akan turut dilanjutkan dengan siri kedua yang akan dianjurkan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kamaman yang memaparkan “Plant Design and Modelling Excellent Centre (PDMec)” yang telah dibina di institusi itu.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.