Tanam hasrat berbakti pada negeri kelahiran

KOTA KINABALU – Penerima biasiswa Yayasan Sabah, Siti Nurfarahin Lapirin menanam hasrat untuk berbakti semula kepada Sabah bagi membina infrastruktur negeri selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam kelak.

Bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau itu yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 merupakan antara 25 penerima tajaan yayasan tersebut yang mengenakan syarat ketat sebelum seseorang pelajar layak menerima biasiswanya.

Anak sulung daripada empat beradik yang kini mengikuti pengajian di Matrikulasi Labuan itu berkata kejuruteraan awam menjadi pilihannya selepas melihat kecanggihan pembangunan infrastruktur di ibu negara.

“Semasa di tingkatan 4, saya pernah mewakili MRSM Tawau dalam pertandingan debat di Kuala Lumpur. Di sana saya melihat pembangunan infrastrukturnya begitu pesat. Hal itu memberi saya inspirasi untuk menjadi jurutera sekali gus menabur bakti di Sabah khususnya di daerah saya Tawau.

“Ini termasuk membina infrastruktur seperti jalan raya, bangunan dan perkhidmatan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) untuk kemudahan penduduk di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Siti Nurfarahin, 18, turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas tajaan itu yang dapat mengurangkan beban keluarga memandangkan ibu bapanya hanya menjalankan perniagaan makanan yang dihantar ke sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan.

“Sekarang ini fokus saya adalah belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita untuk menjadi seorang jurutera seterusnya berbakti kepada masyarakat,” katanya yang berhasrat meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Petronas.

Seorang lagi penerima biasiswa, Mohd Aiman Hazim Janawe dari Sekolah Menengah Sains Labuan yang mendapat keputusan 9A dalam SPM tahun lepas, berkata biasiswa Yayasan Sabah itu adalah platform untuknya mencapai impian menjadi seorang doktor sekali gus merealisasikan harapan keluarga yang mahu melihat dia dalam profesion itu.

“Apabila tamat pengajian nanti, saya juga berhasrat untuk kembali ke Sabah sebagai seorang doktor dan berkhidmat di sini,” katanya. – Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/tanam-hasrat-berbakti-pada-negeri-kelahiran-1.701979

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.