Pupuk bakat 
kreativiti sains pelajar

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya muncul juara dan berjaya merangkul trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai berjumlah RM800.

Program Cabaran Sains yang dianjurkan oleh Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Sains Perubatan (UniKL Mestech) baru-baru ini telah berjaya mengumpul pelajar dari sekolah-sekolah cemerlang untuk bersaing dalam pertandingan cabaran saintifik.

Pertandingan yang diadakan itu bertujuan untuk mencabar pelajar, guru dan kaunselor yang terlibat dalam bidang asasi sains serta menggalakkan pembelajaran interaktif.

Diterajui pensyarah UniKL, Khairul Nizam Mohd Isa, Mohd Rusdan Yusuf, Norehan Mazlan dan pelajar sukarelawan, program ini pada mulanya diilhamkan pada tahun lalu sebagai salah satu usaha untuk memperkenal UniKL Mestech kepada pelajar dan merancang untuk menganjurkan program ini sebagai acara tahunan.

PARA pelajar ditugaskan untuk mencipta mesin Rube Goldberg iaitu sejenis aplikasi kompleks yang melaksanakan tugas melalui tindak balas berantai dalam masa 90 minit.

Pertandingan ini telah lama dilaksanakan di luar negara seperti United Kingdom bagi mendedahkan pelajar sekolah dengan pengetahuan dan kemahiran saintifik lanjutan pada usia muda.

Melalui penyertaan dalam cabaran saintifik, ia berjaya memupuk minat untuk mempelajari mata pelajaran sains dan memberikan pendedahan awal tentang jenis eksperimen yang dijalankan pada peringkat pengajian tinggi kursus aliran sains.

Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori; kuiz sains serta IQ, amali makmal sains dan cabaran inovatif.

Dalam cabaran yang ketiga, pelajar telah ditugaskan untuk mencipta mesin Rube Goldberg, iaitu sejenis aplikasi kompleks yang melaksanakan tugas melalui tindak balas berantai dalam masa 90 minit.

Cabaran memerlukan tahap kemahiran saintifik dan kreativiti tinggi dan menyaksikan pasukan yang bertanding membina aplikasi yang berfungsi sepenuhnya.

Menurut Ketua Penyelidikan dan Inovasi di UniKL Mestech. Dr. Izuddin Fahmy Abu berkata, kreativiti yang dipaparkan pelajar begitu cemerlang sehingga menyukarkan juri untuk memilih sekolah terbaik dalam kategori cabaran inovasi.

“Kreativiti perlu dipupuk pada usia yang sangat muda. Keupayaan intelek tidak menentukan seseorang itu berjaya dalam dunia luar.

“Seseorang itu perlu bersifat kreatif serta pantas dalam membuat keputusan yang tepat.

“Saya melihat pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini memiliki kualiti tersebut,” katanya.

Pada tahun ini, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya muncul juara dan berjaya merangkul trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai berjumlah RM800.

Penyandang tempat kedua pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat Kajang yang memenangi hadian wang tunai RM400 dan tempat ketiga pula dimenangi SMK King George V, Seremban.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/pupuk-bakat-8232-kreativiti-sains-pelajar-1.501963

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.