FAMA Sasar Agrobazaar Malaysia Singapura Catat Nilai Jualan RM4.6 Juta

KUALA LUMPUR, 12 Julai

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan Agrobazaar Malaysia Singapura (ABMS) mencatat nilai jualan keseluruhan RM4.6 juta pada 2017.

Usaha bagi mencapai sasaran berkenaan diteruskan dengan membawa masuk 172 produk keluaran usahawan tempatan Selangor untuk dipromosikan melalui platform ABMS pada 15 Julai hingga 15 Ogos ini.

Anggota Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Abdul Shukur Idrus berkata sepanjang tempoh tersebut seramai 42 usahawan tempatan akan mengambil bahagian untuk mempromosikan produk masing-masing.

Beliau berkata, usahawan dibawa masuk ke pasaran Singapura itu merupakan mereka yang dibimbing Majlis Amanah Rakyat (Mara), FAMA dan lain-lain agensi kerajaan.

“Antara produk yang diketengahkan di bazar tersebut adalah tiga kategori utama makanan popular dari Selangor iaitu nasi ambeng, makanan sampingan berasaskan ubi, serta pencuci mulut yang dikenali bubur sumsum.

“Produk yang mendapat permintaan tinggi dari pengunjung bakal menjadi menu tetap yang akan dijual di Agrobazaar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program ‘ Produk Selangor ke Pasaran Singapura di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Zulfikri Osman dan Pengarah FAMA Johor, Zainal Abidin Yang Razali.

Abdul Shukur berkata, setakat tahun lepas, produk keluaran usahawan Selangor mencatat nilai jualan​​​​​​​​​​​​​​RM168,000 menerusi ABMS.

Katanya, produk dari Malaysia mudah mendapat sambutan di pasaran tersebut memandangkan keluaran negara adalah halal dan bersih.

Promosi serta jualan produk dari Selangor itu akan diadakan di tiga lokasi utama iaitu di Pusat Halal Malaysia @ Big Box, Hab Halal Global MyOutlets di Chai Chee Road dan ABMS dengan jangkaan 60,000 pengunjung.

Agrobaazar Malaysia adalah entiti milik FAMA yang berperanan sebagai pusat jualan dan promosi di Singapura bagi produk berasaskan tani dari semua negeri di Malaysia.

sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1371935

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.