Ditauliah sebagai Pakar Industri Negara

KUALA LUMPUR 11 Julai – Setelah ditamatkan perkhidmatan de­ngan Malaysia Airlines (MAS) dua tahun lalu, Abu Bakar Hussin, 57, runsing memikirkan kerjaya dan perancangan masa depannya.

Masakan tidak, setelah bergelumang lebih 30 tahun dalam bidang penerbangan termasuk 22 tahun berkhidmat dengan Ten­tera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hidupnya seperti sudah sebati dengan bidang penerba­ngan.

“Sebaik menerima surat pemberhentian kerja daripada MAS, saya bersama rakan-rakan yang mengalami nasib serupa, seakan keliru dan samar dengan masa depan masing-masing.

“Sehinggalah pihak MAS meminta kami untuk mendaftar diri dengan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) yang ditubuhkan Khazanah Nasional supaya kami dapat dibantu untuk mendapatkan pekerjaan lain,” katanya.

Tambah Abu Bakar, sebelum mendaftar, pihak CDC terlebih da­hulu meminta mereka mengemukakan surat pemberhentian ser­ta memberikan maklumat pe­ribadi yang diperlukan.

“Segala maklumat tersebut bertujuan bagi memudahkan pi­hak CDC menyalurkan maklumat serta mengenal pasti peluang pekerjaan dan kursus-kursus yang diperlukan serta bersesuaian dengan kami,” katanya yang telah bertugas selama 13 tahun bersama MAS sebagai jurutera pesawat.

Ujarnya, di CDC pelbagai program dan kursus disediakan seca­ra percuma bergantung kesesuaian dan minat peserta terlibat.

“Malah, CDC sering menganjurkan karnival kerjaya yang mana semasa karnival tersebut terdapat syarikat tempatan dan luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan kepada kami.

“Sekiranya peserta lebih ke-arah keusahawanan, mereka akan banyak didedahkan dengan bidang tersebut dan akan dibantu dari segi aspek pembiayaan perniagaan menerusi penglibatan agen­si seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“Sewaktu di CDC saya memilih kursus pegawai latihan vokasional (VTO) sesuai dengan latar belakang dan pengalaman yang saya ada sewaktu bersama MAS dan TUDM.

“Alhamdulillah, tidak lama selepas menyertai CDC saya berjaya memperoleh pekerjaan sebagai jurutera penyelenggara pesawat dengan syarikat Startulip Aviation Sdn. Bhd.,” katanya.

Menurut Abu Bakar, perkembangan kerjayanya tidak setakat itu, berbekal pengalaman luas da­lam bidang penerbangan ditambah dengan latihan menerusi pro­gram dan kursus di CDC membolehkannya ditauliahkan sebagai Pakar Industri Negara (PIND).

Pentauliahan itu diberikan oleh Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Ja­batan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

“Saya juga kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Pengesahan Luaran (PPL) oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk menilai pelajar-pelajar kolej dan pusat latihan penerbangan yang ada di negara ini.

“Antara tugas sebagai PPL ini termasuklah memeriksa tahap kemahiran calon di kolej terlibat, menilai kerja-kerja bengkel serta memeriksa peperiksaan akhir ca­lon-calon sebelum mereka boleh diiktiraf sebagai pekerja berkemahiran,” katanya.

Jelas Abu Bakar, dia tidak me­nyangka kerjayanya dalam bidang penerbangan akan berkembang sehingga tahap ini meskipun pernah diberhentikan kerja.

“Saya begitu bersyukur kerana CDC banyak membantu dan mengembalikan semangat dan motivasi saya untuk memperoleh pekerjaan baharu.

“Malah, boleh dikatakan pendapatan yang saya peroleh ketika ini jauh lebih baik daripada apa yang saya terima semasa berkhid­mat dengan MAS sebelum ini,” katanya

sumber : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/ditauliah-sebagai-pakar-industri-negara-1.501630

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.