Azam bergelar peniaga

Melaka: Tahap pendidikan dimiliki hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja, amun ia bukan penghalang bagi Nazry Latip, 39, untuk berjaya dalam perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan pembersihan menggunakan ais kering.

Beliau berkata, kos sara hidup semakin meningkat mendorongnya berhenti daripada bekerja sebagai pembantu di sebuah hospital kerajaan di negeri ini lalu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Walaupun sedar risiko akan mengalami kerugian dalam perniagaan amat tinggi, dia yakin dengan keputusan itu kerana percaya perkhidmatan ditawarkan bakal memberi pulangan lumayan berikutan teknologi digunakan masih baru di negara ini.

Beliau yang mula menceburkan diri dalam bidang itu pada 2013 bukan saja perlu bekerja keras untuk meyakinkan pelanggan sebaliknya menguasai teknik pembersihan dan cara mengendalikan mesin pembersihan menggunakan ais kering dibelinya.

“Selepas berhenti bertugas saya menjadi subkontraktor dengan melakukan kerja mengecat bangunan dan memasang lantai.

“Tidak lama kemudian seorang rakan mencadangkan saya menceburkan diri dalam bidang ini, lalu nekad membeli mesin terpakai dari Sarawak pada harga RM70,000,” katanya ketika ditemui di pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Duyung, di sini, kelmarin.

Katanya, dia memberanikan diri menawarkan perkhidmatan pembersihan dan bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh syarikat besar termasuk bertaraf nasional dan multinasional.

Nazry berkata, keputusan untuk menceburkan diri bukan sahaja berdasarkan kepada tahap persaingan yang kurang sebaliknya turut menilai kesan ke atas alam sekitar menerusi penggunaan peralatan berteknologi itu yang mesra alam.

“Penggunaan ais kering ini menjadikan masa diambil untuk melakukan kerja pembersihan lebih singkat kepada 60 peratus berbanding kaedah konvensional.

“Bahan ini juga tidak menghasilkan sisa buangan kedua, sifatnya tidak menghakis permukaan objek menyebabkan ia amat sesuai bagi kerja membersihkan barangan lama termasuk artifak yang mempunyai nilai sejarah tinggi,” katanya.

Kegigihan Nazry, membuka mata banyak pihak apabila menerima pinjaman RM490,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan geran RM270,000 digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan membeli enam unit lagi mesin pembersihan ais kering.

“Saya tidak menafikan sukar untuk berjaya, saya ambil masa dua tahun untuk stabilkan perniagaan. Kena berikan hasil terbaik untuk yakinkan pelanggan terutama syarikat besar bahawa kita boleh,” katanya.

“Tidak bertumpu kepada projek besar, saya juga tawarkan perkhidmatan kepada pelanggan ingin mencuci bahagian enjin kereta,” katanya.

sumber : https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/07/244177/azam-bergelar-peniaga

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.