Tuisyen@KKLW bela nasib pelajar miskin

Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Zahida Zarik Khan, (tiga dari kiri) merasmikan Tuisyen Rakyat@KKLW by YPM@Parlimen Padang Besar di Dewan MRSM, Beseri. – Foto NSTP/Azhar Ramli

PADANG BESAR: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) terus komited membantu meningkatkan aspek pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar miskin di seluruh negara, melalui program kelas bimbingan tambahan disediakan.

Pengerusi YPM, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata ini terbukti apabila bilangan pelajar yang dibantu melalui program Tuisyen@KKLW yang dianjurkan dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO itu kini mencecah 30,000 orang iaitu meningkat lebih 100 peratus berbanding hanya 13,000 pelajar ketika mula ia diperkenalkan pada 2013.

Beliau berkata, jumlah bilangan pelajar dipertingkatkan setiap tahun bagi memastikan pelajar yang mempunyai tahap pendidikan sederhana dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka.

“Sebahagian besar mereka berpotensi untuk menjadi pelajar cemerlang, namun kekangan kewangan bagi memperoleh kelas bimbingan tambahan menjadi penghalang…jadi kita membantu mereka.

“Buktinya pencapaian pelajar yang mengikuti Tuisyen@KKLW meningkat 40 peratus bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 60 peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Padang Besar, di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini, hari ini.

Tuisyen@KKLW di Parlimen Padang Besar menyaksikan seramai 100 pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki SPM dan 100 pelajar sekolah rendah yang bakal menduduki UPSR terpilih menyertai kelas bimbingan percuma berkenaan.

Pusat tuisyen berkenaan memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi calon UPSR serta mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bagi SPM.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/300384?m=1

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.