Mara tawar tuisyen percuma di Parlimen Padang Besar

PADANG BESAR – Masing-masing 100 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan parlimen Padang Besar menerima manfaat Program Tuisyen Rakyat@KKLW sejak Mei lalu yang dianjurkan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Pengerusi YPM, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, program yang dijalankan dengan kerjasama Puteri UMNO itu melibatkan pelajar dari dua sekolah rendah dan enam sekolah menengah yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah selain mempunyai pencapaian akademik sederhana.

Program ini menawarkan bimbingan tambahan secara percuma untuk subjek teras kepada calon UPSR dan SPM, kata Zahida yang juga Naib Ketua Puteri Umno kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di sini hari ini.

Katanya, tumpuan diberikan kepada subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi calon UPSR manakala untuk calon SPM pula difokuskan kepada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Katanya, bagi calon UPSR, bimbingan diadakan sejak Mei lepas manakala bagi calon SPM pula bermula bulan lalu.

Pelajar-pelajar ini katanya turut dibimbing dalam teknik menjawab peperiksaan selain perlu menghadiri kelas intensif serta motivasi sebagai persediaan tambahan yang diadakan dua kali sebulan melibatkan 11 sesi.

“Tahun lepas, sebanyak 60 peratus kenaikan pencapaian dicatat dalam peperiksaan UPSR manakala 40 peratus diperoleh bagi peperiksaan SPM hasil daripada program tuisyen ini,” katanya kepada pemberita.

Zahida berkata sehingga kini, terdapat 540 Pusat Tuisyen Rakyat di seluruh negara dengan tiga daripadanya beroperasi di Perlis.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mara-tawar-tuisyen-percuma-di-parlimen-padang-besar-1.699515

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.