MARA, SME bantu teroka perniagaan char kuetiau

Kuala Kangsar: Walaupun pernah gagal dalam perniagaan char kuetiau yang diusahakan, ia tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri untuk kembali membangunkan perniagaan serupa hasil bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp), sehingga mampu mengeluarkan produk sendiri.

Hasil kegigihan meneroka perniagaan hidangan char kuetiau sejak lebih 15 tahun lalu, Mohd Shahrizan Mohamad Nazir, 36, bersama isterinya, Amalia Abd Aziz, 34, kini memiliki tiga premis menyajikan hidangan terbabit sebagai menu tarikan utama dan mempunyai tiga francais jenama sama iaitu Chor Char Koay Teow (CCKT), selain mengeluarkan produk berupa pes untuk memasak hidangan berkenaan.

Mohd Shahrizan berkata bantuan dua agensi berkenaan melalui pembabitan beliau bersama isteri dalam Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) sangat membantu dalam mengembangkan perniagaan mereka.

“Daripada PERDASAMA, saya dan isteri mendapat begitu banyak bimbingan keusahawanan termasuk dalam memperoleh pinjaman perniagaan melalui MARA dan SME Corp biarpun pada asalnya perniagaan ini sudah bertapak sejak lebih 15 tahun lalu menggunakan modal sendiri.

Pembabitan dalam TUBE “Pembabitan isteri dalam program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pada Februari tahun lalu di bawah SME Corp melayakkan beliau memperoleh RM15,000 untuk mendirikan perusahaan di premis sendiri,” katanya.

Mohd Shahrizan berkata, MARA juga menawarkan kepadanya seunit trak makanan bagi lebih memudahkannya beroperasi namun menolak tawaran itu buat masa ini dan hanya sudi menerima geran bagi tujuan pelabelan yang dijangka sebanyak 10,000 unit.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, perniagaannya pada mulanya diusahakan di tepi jalan selama lima tahun sebelum membuka restoran di Chandan Putri, di sini.

Beliau kemudian berhenti seketika untuk beralih menjadi juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi berikutan keuntungan diperoleh tidak mampu menampung kos operasi perniagaan.

“Setelah dua tahun berkhidmat sebagai juruteknik, saya kembali berniaga dengan cara menumpang gerai di restoran selama empat tahun sebelum akhirnya berpindah ke premis sendiri sejak lebih tiga tahun lalu,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/300627

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.