Permohonan kursus baharu perkhidmatan rel dibuka

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra pada Majlis Sambutan Aidilfitri GiatMara, Kuala Lumpur, sebentar tadi. – Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: GIATMARA menjadi perintis kursus kemahiran baharu dalam perkhidmatan rel kereta api berkelajuan tinggi, MRT dan seumpamanya dengan pengambilan pertama bermula Julai.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 24 daripada 231 Pusat Latihan GIATMARA di seluruh negara akan menawarkan kursus berkenaan.

Beliau berkata Pusat Latihan GIATMARA Gambang akan dijadikan pusat latihan induk berikutan modul latihan disediakan bersama Universiti Malaysia Pahang.

“Pengambilan pertama bermula bulan ini akan membabitkan 760 kekosongan di pusat GIATMARA terpilih di seluruh negara.

“Belia yang berminat dan berkelayakan boleh membuat permohonan terus kepada GIATMARA,” katanya pada sidang media ketika Majlis Sambutan Aidilfitri GIATMARA, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi GIATMARA, Datuk Azian Osman, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Jamal Nasir Othman dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan kerjasama industri berkaitan antaranya, RapidRail, penyedia perkhidmatan rel utama Jepun, JR Kyushu dan China sudah menyediakan tenaga kerja mahir bermula awal tahun ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga pelatih yang juga pemenang pingat emas Pertandingan Asean Skills Competition (ASC) untuk menyertai World Skills Competition di Abu Dhabi, Oktober depan.

Ketika mengulas kedudukan Tan Sri Annuar Musa sebagai pengerusi MARA selepas hasil dapatan mesyuarat audit dalaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkaitan penggantungan tugasnya, Ismail Sabri menjelaskan Ahli Lembaga Pengarah sedang menunggu tarikh pembentangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/299483?m=1

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.