Beri peranan kepada GIATMARA

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – GIATMARA diberi peranan untuk melatih dan menyediakan tenaga kerja pakar bagi memenuhi keperluan industri rel dan kereta api yang semakin berkembang di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi peringkat awal, institusi latihan itu akan menyediakan 760 tempat untuk pelatih mengikuti kursus itu.

“Seperti yang kita tahu, kita sekarang bercakap soal MRT, LRT, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan projek Landasan Keretapi Pantai Timur ECRL, yang memerlukan ramai pakar-pakar.

“Saya ingin memaklumkan yang terbaharu bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah pun memberi peranan baharu kepada GIATMARA iaitu untuk menyediakan satu kursus baharu berkaitan kereta api,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Raya 4 All 2017 GIATMARA di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 24 buah GIATMARA di seluruh negara akan terlibat menyediakan kursus latihan dalam bidang itu yang mana modul latihannya dibangunkan sendiri oleh pusat latihan itu dengan kerjasama pihak industri kereta api.

Katanya, pengambilan untuk mengisi tempat dalam kursus itu dibuka sekarang dan para belia yang berminat boleh membuat permohonan secara terus kepada GIATMARA.

Ismail Sabri berkata, selain GIATMARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga telah menyediakan kursus berkaitan industri rel dan kereta api untuk peringkat universiti.

“Untuk UniKL, kita bekerjasama dengan sebuah syarikat kereta api dari Jepun, sebuah dari China dan juga Rapid Rail di bawah Syarikat Prasarana Negara Bhd untuk menyediakan kursus itu,” katanya sambil menambah bahawa langkah tersebut akan mengelak negara bergantung kepada tenaga kerja pakar luar negara.

Dalam pada itu, mengulas kedudukan Tan Sri Annuar Musa sebagai pengerusi MARA, Ismail Sabri berkata, ketika ini Lembaga Pengarah MARA sedang menunggu tarikh daripada Perdana Menteri untuk membentangkan laporan mereka berhubung hasil dapatan mesyuarat audit dalaman yang dijalankan sebelum ini berhubung perkara itu.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan surat penghargaan kepada tiga pelatih GIATMARA yang akan bertanding mewakili negara ke Pertandingan Kemahiran Dunia 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada Oktober depan. – Bernama

Sumber  : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/beri-peranan-kepada-giatmara-1.698215

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.