Tak tidur bila hujan lebat

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Tok Bilal, Ariff Abdullah melihat meter lama yang rosak di rumah Ana Kalmizan (tengah).

MACHANG – Bantuan pendawaian semula elektrik membabitkan 236 rumah miskin di Parlimen ini yang siap sepenuhnya pada Ramadan lalu membawa sinar baharu sekali gus memeriahkan Syawal penduduk kurang berkemampuan.

Jika sebelum ini mereka terpaksa berdepan pelbagai bahaya akibat masalah pendawaian elektrik di rumah termasuk kebakaran, namun kini masalah itu selesai sepenuhnya.

Seorang penerima dari Kampung Baru Murni, dekat kemunchup, Mat Jusoh Omar, 48, berkata, pelbagai masalah dihadapi keluarganya akibat masalah pendawaian lama rosak.

Katanya, selepas kerja-kerja membaiki rumah usangnya itu dilaksanakan, dia terpaksa membiarkan wayar-wayar elektrik di rumahnya berselirat di bahagian bumbung sejak setahun lalu.

Tambahnya, dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM2,000 bagi upah pendawaian semula dan terpaksa menangguhkan kerana kekangan kewangan.

“Bila hujan lebat dan petir, kami akan tutup suis utama kerana bimbang berlaku kejadian tak diingini. Malam pula kami terpaksa bergelap.

“Saya juga terpaksa hadkan penggunaan elektrik kerana bimbang terlebih bebanan termasuk guna mesin basuh, dua hari sekali,” katanya.

Tambah Mat Jusoh, setiap kali hujan lebat dan petir, tidurnya dan isteri akan terganggu dan mereka memilih untuk berjaga kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Katanya, bantuan itu cukup bermakna buatnya dan keluarga dan mereka berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di atas bantuan itu.

Menurutnya, pendawaian di rumah siap dalam masa sehari dan dilaksanakan oleh pelajar GiatMARA Jeli.

“Anak-anak juga cukup gembira bila rumah kami sudah ada pendawaian baru ini,” katanya.
Fius meter utama terbakar

Seorang lagi penerima, Ana Kalmizan Ismail, 39, berkata, bantuan itu umpama sinar di Aidilfitri yang cukup bermakna buatnya dan lima ahli keluarga yang lain.

Katanya, selama 19 tahun, dia dan keluarga bergilir-gilir menggunakan dua plag dan terpaksa menggunakan banyak penyambung bagi memenuhi keperluan mereka.

Pelajar GiatMARA sedang menyiapkan pendawaian elektrik di bawah bantuan pendawaian semula elektrik KKLW

“Alhamdulillah, bantuan ini membawa seribu rahmat bagi kami yang sangat memerlukannya. Saya tak mampu baiki memandangkan pendapatan kami hanya cukup untuk makan pakai dan sekolah anak-anak,” katanya.

Bagi Siti Norhafiza Safian, 33, pula, bantuan tersebut meringankan beban perbelanjaan suaminya yang mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Katanya, mereka sekeluarga mendiami rumah tinggalan keluarga yang berusia lebih 30 tahun dan menghadapi pelbagai masalah pendawaian.

Tambahnya, dua bilik anaknya tidak mendapat bekalan elektrik akibat masalah pendawaian dan mereka sekeluarga memilih untuk tidur di ruang tamu.

“Lepas dapat bantuan ni, anak-anak sangat gembira sebab dapat tidur di bilik masing-masing.

“Dah lama kami dinasihatkan membuat pendawaian semula, namun kami tak mampu dan terpaksa bertahan dengan apa yang ada.

“Mujurlah ada bantuan ini yang mana sangat kami nantikan,” katanya yang tinggal di Kampung Tok Bilal, dekat sini.

KKLW sedia peruntukan berjumlah RM250,000

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM250,000 bagi melaksanakan pendawaian semula elektrik membabitkan 236 rumah miskin di Parlimen Machang bagi fasa pertama.

Timbalan Menteri KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jumlah tersebut membabitkan seluruh Parlimen Machang dengan mengutamakan keluarga yang benar-benar memerlukan.

Katanya, sebanyak 1,000 rumah dikenal pasti di bawah bantuan tersebut dan sebanyak 236 rumah terlibat bagi fasa pertama.

Tambahnya, bantuan penyelenggaraan elektrik rumah keluarga miskin tersebut bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan rakyat kurang berkemampuan tetapi turut mengelakkan kejadian yang membabitkan kemalangan elektrik.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tak-tidur-bila-hujan-lebat-1.697498

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.