“SAYA tidak pandai berenang. Boleh ke saya menyertai kelas menyelam? Macam mana kalau saya lemas?” terdetik soalan-soalan gusar sebegitu itu di dalam hati Nurfaizha Asmaa Hussin, 29, atau lebih mesra dipanggil Asmaa itu sewaktu pertama kali mengunjungi kolam renang yang terletak di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor dua tahun lepas.
Bertitik tolak dari situ, anak kelahiran Kuala Lumpur itu terus menempah tempat untuk mengambil lesen menyelam di laut terbuka (OWD) di Pulau Perhentian di bawah kursus menyelam kelolaan Persatuan Pengajar Menyelam Profesional (PADI).
Akui graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Perkilangan daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu, niat asalnya mengambil kursus menyelam adalah untuk sebagai hobi.
“Kini, aktiviti menyelam di laut terbuka benar-benar menjadi hobi yang menyeronokkan buat saya,” ujar Asmaa yang berpeluang menambah kenalan.
Dalam tempoh dua tahun, Asmaa telah meneroka beberapa pulau yang terkenal dengan aktiviti menyelam skuba seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah di Terengganu serta Pulau Mabul dan Pulau Sipadan di Sabah.
Biarpun dirinya masih tidak tahu berenang dan takutkan air (akuafobia), namun minat menebal terhadap aktiviti air itu telah mendorong Asmaa untuk menaik taraf lesen menyelam lautan terbuka (OWD) menjadi penyelam adventure lautan terbuka (AOW).
Pada peringkat OWD, penyelam skuba hanya boleh menyelam sehingga kedalaman 18 meter (m) manakala AOW boleh menyelam sehingga 30m bergantung kepada kapasiti gas mampat dalam silinder menyelam yang dibawa. Komposisi gas dalam silinder menyelam ialah 78.9 peratus nitrogen, 21 oksigen dan 0.01 gas nadir.
Kecintaan Asmaa terhadap aktiviti selam skuba membuatkan ibu muda ini mengajak anak tunggalnya bersama, Muhammad Haris Haqimy Mohammad Ehsan, 10, atau lebih mesra disapa Haqimy itu untuk mengambil kelas asas menyelam yang dikendalikan oleh Black Pearl Dive Team.
Kelas berdurasi dua jam itu diadakan di Kolam Renang Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
“Saya sangat seronok untuk mencuba menyelam skuba! Jika sebelum ini saya hanya mengambil kelas renang biasa, tidak lama lagi saya boleh menyelam dengan memakai silinder menyelam pula,” ujar Haqimy.

Fajrul akan sentiasa berkomunikasi menggunakan isyarat tangan bagi memantau keselamatan peserta di dalam air.
Nilai tambah
Menyifatkan penerangan yang disampaikan oleh pengajar mudah difahami dan diikuti, Haqimy mengakui kemahiran berenang yang dimiliki membuatkan dia tidak berdepan masalah untuk mengapungkan badan atau menyeimbangkan diri di dalam air.
Sementara itu, pengasas dan pengajar di Black Pearl Dive Team, Muhammad Fajrul Omar Muhamad Ridzuandi, 23, atau dipanggil Fajrul itu memberitahu, rata-rata peserta yang pertama kali ingin mencuba melahirkan rasa gusar seperti Asmaa.
“Hakikatnya, mereka tidak perlu menjadi seorang perenang handalan jika ingin mencuba selam skuba kerana kedua-dua aktiviti tersebut adalah berbeza.
“Namun, jika peserta boleh berenang, ia merupakan satu nilai tambah kepada dirinya sewaktu berada di dalam air sama ada di kolam atau laut terbuka,” ulas anak kelahiran Kuala Lumpur itu sewaktu ditemui di Kolam Renang Kompleks MSN Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu memberitahu, individu yang kurang mahir berenang sering berfikir bahawa mereka akan lemas. Apabila panik, seseorang itu akan cuai sehingga mengabaikan keselamatan diri.
Keselamatan
“Sebenarnya, selam skuba tidak sukar kerana penyelam sudah diberi penerangan awal berhubung aspek keselamatan dan cara mengawal peralatan. Kuncinya, penyelam perlu sentiasa bertenang dan bijak mengaplikasikan teknik equalizing serta kawalan pernafasan menggunakan silinder menyelam yang disalurkan menerusi regulator.
Kaedah equalizing merupakan cara membuang tekanan yang terkumpul di telinga setiap kali menyelam lebih dalam ke dasar manakala regulator ialah corong yang disambungkan pada kebuk oksigen dan digigit oleh penyelam untuk bernafas.
Menyingkap sejarah penglibatannya dalam sukan selam skuba, graduan Diploma Kejuruteraan Marin Elektrik dan Elektronik daripada Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia (MIMET) UniKL, Lumut, Perak itu mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang maritim sejak kecil lagi.
Justeru, sebaik diterima masuk ke MIMET, Fajrul merasakan nasib berpihak kepadanya kerana kolej mempunyai kelab selam skuba dan dia terus mendaftarkan diri sebagai ahli.
“Sejak itu, saya bergiat aktif dalam bidang selam skuba. Malah, saya juga mula melakukan pekerjaan sampingan dengan mengelolakan perjalanan untuk melakukan aktiviti menyelam skuba di pulau-pulau di Terengganu.
“Saya juga mengambil lesen secara berperingkat bermula dengan OWD, AOW, penyelam laut terbuka lanjutan dan seterusnya penyelam menyelamat,” terangnya yang pernah bekerja selama setahun sebagai juruteknik perkapalan di Sabah.
Masa depan
Pada peringkat penyelam penyelamat, Fajrul menjadi dive master yang bertindak membantu instruktor skuba laut terbuka sebelum dirinya terpilih sebagai kumpulan pertama mengikuti kursus kemahiran instruktor skuba tajaan Yayasan Peneraju.
Selepas bergelar instruktor, dia kemudiannya menubuhkan Black Pearl Dive Team bersama rakannya, Muhammad Hafidz Zonkifle, 25.
“Saya bermula secara kecil-kecilan sahaja menggunakan modal yang dikumpul sejak bekerja di luar pesisir sebelum ini.
“Semua kelengkapan menyelam untuk peserta dibeli secara berperingkat, namun saya tetap mengutamakan kualiti demi keselesaan dan keselamatan mereka,” katanya.
Menyentuh perancangan masa depan, Fajrul menanam hasrat untuk mewujudkan pusat menyelam sendiri suatu hari nanti.
Dia berhasrat mahu membimbing lebih ramai penyelam baharu pada kedalaman 18 meter di bawah paras laut.
Sumber: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0703&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_01.htm