Lahir pakar teknologi farmaseutikal

UniKL RCMP tawar program baharu bermula September

PROGRAM Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Teknologi Farmaseutikal yang bakal diperkenalkan oleh UniKL RCMP mampu membangunkan lagi industri kesihatan dan kosmetik negara.

UNIVERSITI Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL RCMP) terus melangkah ke hadapan dengan menawarkan program baharu, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Teknologi Farmaseutikal untuk sesi kemasukan September ini.

Program pengajian selama tiga tahun setengah itu terbuka kepada semua pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi serta graduan Diploma Farmasi dan Sains berkaitan, mengikut syarat kemasukan yang ditetapkan.

Ahmad Fuad Shamsuddin

Dekan Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan UniKL RCMP, Prof. Dr. Ahmad Fuad Shamsuddin berkata, berbeza dengan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Farmasi, program baharu itu tidak menjurus kepada aspek klinikal, sebaliknya menitikberatkan kepada aplikasi teknikal dan farmaseutikal dalam industri.

“Di Malaysia, terdapat lebih 100 syarikat yang berdaftar dengan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Persa­tuan Farmaseutikal Malaysia. Jumlah itu tidak termasuk dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan kosmetik serta mengeluarkan produk-produk kesihatan.

“Oleh itu, dengan pengenalan program baharu ini, kita harap dapat melahirkan lebih banyak ahli teknologi dalam bidang farmaseutikal, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri kesihatan dan kosmetik selari dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara maju,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Teknologi Farmaseutikal yang mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun ini, antara lain bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas dalam disiplin saintifik.

Kelayakan itu sekali gus membuka laluan kerjaya dalam bidang penemuan ubat dan pembangunan, penilaian standard serta hal ehwal kawal selia serta pemasaran produk-produk farmaseutikal berasaskan herba, kosmetik dan makanan kesihatan.

Pelajar juga boleh meneruskan kerjaya dalam aspek kawalan kualiti, ujian praklinikal, perkhidmatan jualan dan pemasaran, penyelidikan serta pembangunan produk-produk berkaitan.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata, pendekatan pengajaran berasaskan teaching factory di UniKL juga membolehkan pelajar didedahkan dengan suasana sebenar di tempat kerja dalam industri sejak tahun pertama pengajian lagi.

Beliau berkata, dengan kemudahan lengkap termasuk makmal teknologi farmaseutikal, pelajar turut diberi pendedahan penggunaan peralatan terkini yang mengguna pakai teori asas dalam pembuatan ubat, krim dan tablet.

Lebih meyakinkan, modul pengajaran pengajian dibangunkan sendiri oleh tenaga pengajar UniKL yang berpengalaman luas dalam industri farmaseutikal dari dalam dan luar negara.

“Dengan pengenalan program baharu ini, sekali gus melengkapkan penawaran pengajian sedia ada di UniKL RCMP merangkumi Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MBBS), Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Farmasi, Diploma Kejururawatan, Diploma Farmasi, Diploma Radiografi dan Diploma Fisio­terapi.

“Pelajar juga perlu melengkapkan latihan industri pada semester ketujuh dengan syarikat-syarikat farmaseutikal pada tahun akhir pengajian selain didedahkan dengan kemahiran keusahawanan,” katanya.

Antara subjek pengkhususan penting yang perlu diambil oleh pelajar dalam jurusan ini termasuklah kejuruteraan farmaseutikal, teknologi farmaseutikal, farmakologi dan toksikologi, kimia perubatan farmaseutikal, analisis farmaseutikal, sistem pe­nyampaian ubat baharu (nanoteknologi), biofarmaseutikal dan farmakokinetik.

Selain mempelajari tentang pengurusan pengeluaran serta pengesahan produk farmaseutikal, pelajar juga perlu meleng-kapkan projek penyelidikan selain memilih dua subjek elektif.

Antara subjek elektif yang ditawarkan termasuk pemasaran farmaseutikal, reka bentuk ubat dengan bantuan komputer, teknologi ubat herba, pembungkusan farmaseutikal, pengurusan kualiti dan Amalan Pengilangan Islam.

Graduan lulusan Diploma Farmasi dan Sains dari mana-mana institusi juga berpeluang melakukan pemindahan kredit dengan pengecualian pengajian sehingga satu semester mengikut kelayakan yang ditetapkan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/lahir-pakar-teknologi-farmaseutikal-1.497675

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.