
Ariss (empat, kanan) bersama sebahagian penerima sumbangan yang terdiri daripada golongan muda yang memerlukan di daerah Batu Pahat.
BATU PAHAT – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi anak syarikatnya, Pelaburan Mara Berhad (PMB Investment) dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Batu Pahat (MBDBP), meraikan 60 individu kurang berkemampuan di daerah ini.
Ahli Majlis Mara, Datuk Ariss Samsudin berkata, ia merupakan program julung kali dilakukan pihaknya untuk meringankan beban mereka yang memerlukan pada masa sama melunaskan tanggungjawab sosial.
Menurutnya, bantuan diberikan ini khusus kepada golongan muda dalam kalangan yang kurang berkemampuan, namun tidak mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak lain.
“Kami pilih mereka yang layak untuk mendapat sumbangan, untuk menerima kuih raya dan juga wang tunai.
“Harapan kami agar sumbangan ini dapat meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri kelak.
“Diharap juga dengan pemberian ini akan menceriakan mereka, serta tidak membuatkan mereka rasa terpinggir. Kami mahukan mereka gembira untuk beraya seperti mana insan lain,” katanya ketika ditemui semasa majlis penyerahan sumbangan itu di Hotel Katerina Batu Pahat.
Sementara itu, Pengerusi MBDBP, Muhammad Izzat Datuk Ariss berkata, pihaknya memilih golongan muda menerima sumbangan berkenaan bagi membolehkan kumpulan penerima ini turut melakar senyuman menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, pihaknya juga berhasrat meneruskan serta menjadikan program itu sebagai aktiviti tahunan sebagai mana yang dicadangkan Mara.
“Kita akan memastikan kerjasama ini berterusan. Ia bukan sahaja dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, tetapi sebenarnya turut mengukuhkan ikatan silaturahim yang terjalin.
“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa tetapi banyak maknanya kepada mereka yang menerimanya. Jiwa mereka tersentuh dengan pemberian berkenaan yang lebih berbentuk touch point,” katanya.
Hadir sama pada majlis sumbangan itu ialah Pengurus Bahagian Selatan PMB Investment, Mohd Shohada Ahmad Mokhtar.