Bantuan MARA Sentuh Hati Ibu Tunggal

Pendang, 18 Jun – Program CSR Hati Emas MARA 2017 dianjurkan lagi pada tahun ini dengan siri penjelajahan oleh MARA dan subsidarinya ke semua 14 buah negeri seluruh Malaysia.

Program yang diadakan di Kedah ini, merupakan satu program di mana pihak MARA memberikan bantuan pembinaan dan penambahbaikan semula kediaman seorang ibu tunggal yang mempunyai 3 orang anak yang mana salah seorang daripadanya adalah tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

Puan Siti Aminah bt Saad penerima bantuan program tersebut, melahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih di atas bantuan yang telah MARA berikan walaupun beliau sekeluarga duduk menumpang di tanah milik bapa saudaranya.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) di atas bantuan dan sumbangan yang diberikan. Dengan adanya bantuan dan sumbangan ini maka ianya dapat menyuntik semangat bagi meneruskan kehidupan buat kami anak beranak nanti” katanya.

Beliau yang telah kematian suami sejak beberapa tahun lalu banyak bergantung hidup melalui ehsan jiran sekitarnya di samping bantuan oleh Kebajikan Masyarakat setiap bulan bagi menyara kehidupannya sekeluarga.

Bantuan yang disalurkan oleh MARA adalah dalam bentuk penambahbaikan keseluruhan kediaman, di mana ia telah dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar dari Institut Kemahiran MARA Sungai Petani, Alor Setar dan Sik, Kedah.

Bagi adik Mohd Amirul bin Darwazi pelajar Sijil Teknologi Kejuruteraan Bangunan, beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat memberi khidmat dan bantuan kepada keluarga tersebut di samping dapat mengaplikasikan apa yang beliau telah pelajari di dalam kelas.

“Saya amat berpuas hati kerana apa yang saya pelajari selama ini dapat dizahirkan dalam bentuk program khidmat masyarakat di samping ianya memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan yang lain berbakti terutamanya dalam bulan yang mulia ini” katanya.

Turut dianjurkan program gotong-royong membersihkan persekitaran kawasan masjid dan tanah perkuburan, program menyediakan bubur lambuk oleh ahli qariah dan jawatankuasa masjid bersama-sama warga kerja MARA Kedah dan para pelajar IKM di masjid kampung yang sama.

Majlis turut dimeriahkan dengan sumbangan bantuan kewangan yang disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Mukim Pendang YB Datuk Md Rozai Safian. Sumbangan kepada seramai 50 orang asnaf yang terdiri dalam kalangan asnaf di Mukim Pendan ini merupakan hasil kutipan Tabung Tanjak YPM serta sumbangan MARA Liner Sdn Bhd.

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.