MARA Semarakkan Inisiatif Negaraku

PUTRAJAYA, 14 Jun 2017 – Bersempena dengan majlis Negaraku yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 18 Mac 2017 yang lalu, MARA melalui subsidiarinya MARA Liner Sdn Bhd telah komited melaksanakan pelancaran simbolik yang menyaksikan logo Negaraku dipamerkan di badan bas MARA Liner sebagai inisiatif dan sokongan kepada usaha kerajaan bagi menyatupadukan rakyat Malaysia.

Malah usaha mempamerkan logo Negaraku ini akan diperluaskan lagi kepada 51 buah bas ekspres MARA Liner dan 237 buah bas MARA Liner luar bandar di samping lebih 1,700 buah kenderaan rasmi MARA dari 553 buah pusat pentadbiran MARA dalam dan luar negara termasuklah Institusi Pendidikan MARA (IPMa).

Hadir sama dalam pelancaran tersebut ialah Menteri Komunikasi & Multimedia YB Dato’ Seri Salleh Said Keruak, Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW) YB Datuk Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Pengerusi Sementara MARA YBhg. Datuk Dr Haji Yusof Haji Yacob, Ketua Pengarah MARA YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf, Pengurusan MARA dan pelajar MARA di peringkat Menengah dan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang telah berjaya menempa kejayaan dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa sama ada di luar mahupun di dalam negara.

Menurut Ismail Sabri, MARA sentiasa komited menyertai apa jua inisiatif dan usaha kerajaan untuk menyemai semangat Negaraku di kalangan komuniti MARA yang terdiri di kalangan warga kerja MARA, para pelajar MARA dan usahawan MARA.

“MARA mempunyai seramai 160,957 pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam dan luar negara di bawah tajaannya, justeru MARA akan melaksanakan program-program khusus bagi menanam semangat dan kecintaan terhadap negara seperti mempamerkan logo Negaraku, memasang dan menyanyikan lagu Aku Negaraku dan menayangkan video Negaraku pada majlis-majlis rasmi MARA bersama pelajar” katanya.

Beliau menambah untuk menerapkan semangat dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan komuniti MARA, logo Negaraku akan dipamerkan di setiap program tanggungjawab sosial korporat MARA (CSR) di samping pada 7,228 buah premis perniagaan MARA seluruh negara serta melalui media sosial MARA iaitu Portal MARA, Facebook MARA, Twitter dan Instagram MARA.

Penyertaan MARA ini sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak untuk memperkasakan inisiatif Negaraku yang menjadi platform kepada rakyat Malaysia menzahirkan rasa cinta dan bangga pada negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai Inisiatif Negaraku, sila layari http://www.negaraku.com.

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged . Bookmark the permalink.