YPM sasar 16,200 pelajar sertai Tuisyen Rakyat@KKLW

Ahmad Bashah Md. Hanipah (tengah) dan Zahida Zarik Khan (dua dari kiri) bermesra dengan murid sekolah rendah dalam majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat@ KKLW Parlimen Alor Setar di Kedah semalam.

Pengerusi YPM, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, untuk tahun ini sebanyak RM4.8 juta diperuntukkan untuk menjayakan tuisyen percuma berkenaan yang bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Sebanyak 162 bahagian Parlimen di seluruh negara terpilih untuk program ini dengan pelaksanaannya membabitkan 148 pusat untuk SPM dan 14 pusat untuk UPSR.

“Sepanjang 2017, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mensasarkan seramai 30,000 pelajar terlibat dalam pelbagai program pendidikan yang di­selaraskan oleh pelbagai agensi di bawah kementerian termasuk YPM dengan Tuisyen Rakyat@KKLW adalah salah satu daripadanya,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW Parlimen Alor Setar di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Sebanyak 102 calon UPSR dari sembilan sekolah di Parlimen ini terpilih menyertai tuisyen ber­kenaan.

Zahida yang juga Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO berkata, sejak dilaksanakan pada 2013, tui­syen berkenaan memberi impak positif dalam kalangan peserta.

“Pada tahun lepas terdapat peningkatan prestasi sebanyak 40 peratus bagi calon UPSR sementara SPM pula sebanyak 60 peratus. Di akhir pelaksanaan program, prestasi peserta akan dianalisis sebelum dan selepas mereka menyertai tuisyen ini,” katanya.

Tambah beliau, tuisyen ber­kenaan menyediakan kemudahan kelas bimbingan tambahan secara percuma kepada pelajar di kawasan luar bandar bagi mempertingkatkan tahap penguasaan mata pelajaran teras dan pencapaian akademik sebagai pemang­kin kecemerlangan modal insan.

“YPM berusaha melakukan penambahbaikan dalam usaha memanfaatkan program berkenaan kepada golongan sasar,” katanya.

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/ypm-sasar-16-200-pelajar-sertai-tuisyen-rakyat-kklw-1.491918

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.