KKLW buka Pusat Tuisyen Rakyat percuma

Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melaksanakan program kelas tuisyen percuma, ‘Pusat Tuisyen Rakyat’, bagi peringkat Parlimen Alor Setar khusus untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melancarkan Program Tuisyen Rakyat @KKLW peringkat Parlimen itu di Perpustakaan Awam Kedah di sini, hari ini.

Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Datuk Zahida Zarikh Khan, yang menghadiri majlis itu, berkata program berkenaan menawarkan kemudahan kelas bimbingan tambahan secara percuma kepada calon UPSR dan SPM daripada keluarga berpendapatan rendah khususnya di luar bandar.

Pusat tuisyen itu memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi calon UPSR serta mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bagi SPM.

“Pejabat Pendidikan Daerah dan Puteri UMNO Bahagian akan menjalankan pemilihan pelajar dan lokasi bersesuaian bagi pusat tuisyen ini. Bagi Parlimen Alor Setar, seramai 102 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR telah dipilih.

“Pelajar-pelajar ini akan diajar teknik menjawab peperiksaan, menghadiri kelas intensif serta motivasi sebagai persediaan tambahan sebelum menghadapi peperiksaan yang diadakan dua kali sebulan yang melibatkan 11 sesi.

“Tahun lepas, sebanyak 60 peratus kenaikan pencapaian dicatat dalam peperiksaan UPSR manakala 40 peratus diperoleh bagi peperiksaan SPM hasil daripada program tuisyen ini,” katanya kepada pemberita.

Zahida berkata sehingga kini, terdapat 508 Pusat Tuisyen Rakyat di seluruh negeri dengan 162 daripada jumlah itu berada di bawah YPM. – Bernama

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/utara/kklw-buka-pusat-tuisyen-rakyat-percuma-1.687460

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.