Kerjasama UniKL, rakan strategik diperkukuh

ISMAIL SABRI Yaakob turut mengambil kesempatan meninjau kokpit pesawat komersil terbaharu Airbus iaitu A350 Neo.

KUALA LUMPUR 8 JUN – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sejak dari awal penubuhannya pada tahun 2002 sentiasa konsisten dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pakar industri dan institusi pendidikan di luar negara termasuk Perancis.KUALA LUMPUR 8 JUN – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sejak dari awal penubuhannya pada tahun 2002 sentiasa konsisten dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pakar industri dan institusi pendidikan di luar negara termasuk Perancis.

University of Nice Sophia Antipolis, Conservatoire Natio­nal des Arts et Metiers (CNAM), serta syarikat aeroangkasa se­perti Safran dan Rafale merupakan antara rakan kerjasama terawal UniKL dari Perancis sekali gus menyaksikan perkongsian kepakaran dan teknologi antara Malaysia dan Perancis direa­lisasikan.

Terkini, UniKL telah berjaya mengukuhkan rangkaian kerjasama bersama rakan-rakan strategik mereka di Perancis menerusi permeteraian beberapa dokumen kerjasama yang ditandatangani semasa lawatan kerja rasmi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara berkenaan baru-baru ini.

Ismail Sabri yang juga meru­pakan Pro Canselor UniKL berkata, University of Nice Sop­hia Antipolis misalnya merupakan rakan usahasama Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) semasa pembangunan program ijazah dalam bidang Industrial Automation and Robotics pada tahun 2002.
Advertisement Skip Ad in 3s

Remaining time: 30s Powered By YuMe“Kali ini, kerjasama yang telah sekian lama wujud itu diperkukuhkan lagi bagi membolehkan pula kerjasama melalui aktiviti penyelidikan dan pengawasan bersama program –program pascaijazah di UniKL dijalankan.
“Begitu juga kerjasama antara UniKL MFI dengan CNAM bagi membangunkan program ijazah dalam bidang Air-Conditioning and Industrial Refri­geration. Kini UniKL dan CNAM bercadang untuk memperluaskan lagi kerjasama melalui program persijilan profesional dan penyelidikan bersama di antara kedua belah pihak,” katanya.

Menurutnya lagi, UniKL bukan sahaja berjaya menarik universiti dan institusi pendidikan tinggi Perancis untuk terus menjadi rakan strategiknya ma­­lah lebih membanggakan lagi apabila Kementerian Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Perancis juga telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama UniKL untuk menaja penghantaran pakar-pakar Pe­rancis oleh kementerian tersebut ke UniKL MFI sebagai kesinambungan kerjasama strategik yang telah sedia terjalin sebelum ini.
“Kejayaan UniKL dalam me­ngukuhkan lagi kerjasama bersama rakan–rakan strategik di Perancis ini merupakan bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap pencapaian, kemampuan dan kredibiliti UniKL.

Rata–rata, kesemua rakan– rakan kerjasama ini amat berpuas hati dengan komitmen serta kejayaan UniKL dalam merealisasikan objektif kerjasama terdahulu dan mereka tidak langsung teragak–agak untuk meneruskan lagi jaringan kerjasama.
“Lebih penting lagi, kerjasama UniKL dan pemain industri dan institusi pendidikan terkemuka Perancis ini juga membolehkan lebih banyak per­kongsian ilmu, kepakaran dan teknologi antara Malaysia dan Perancis. Saya juga yakin bahawa hubungan kerjasama antarabangsa yang kukuh ini akan dapat mempertingkatkan keupayaan UniKL untuk mencapai status antara universiti terbaik di Asia,” katanya.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, UniKL juga turut mengukuhkan jaringan kerjasama dengan beberapa pemain industri aeroangkasa dan pe­ngangkutan terkemuka Perancis termasuk menandatangani surat hasrat (LoI) bersama Safran Aircraft Engines (Safran).
“LoI ini menyaksikan Safran bersetuju untuk mewujudkan pusat kecemerlangan dalam bi­dang penyelenggaraan enjin pe­sawat di hangar baharu kampus UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Subang.

“Safran juga menyatakan rasa puas hati dengan syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat di dalam program pembangunan vendor Safran dan bersedia untuk membuka lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat tempatan termasuk menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar UniKL dan Ins­titusi Pendidikan MARA,” katanya.
Tambahnya, selain Safran, sebuah lagi syarikat peneraju bidang aeroangkasa iaitu Thales juga telah menyatakan komitmen dalam membantu pembangunan program di Asia Rail Institute kendalian UniKL.

“Bantuan Thales tersebut adalah menerusi pembekalan dan penajaan peralatan program signaling termasuk menjadikan Asia Rail Institute sebagai pusat kecemerlangan Thales bagi rantau Asia. Thales juga akan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu lagi pusat kecemerlangan dalam bidang keselamatan siber melalui kerjasama UniKL.
“Kerjasama ini saya lihat mem­bolehkan UniKL menjadi antara penyumbang utama kepada transformasi landskap dan ekosistem pengangkutan negara yang merupakan antara fokus utama kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu turut bertepatan de­ngan hasrat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Majlis Amanah Rak­yat (MARA) untuk memperkasakan ekonomi negara me­lalui pembangunan modal insan yang berkepakaran tinggi dalam industri–industri strategik se­perti aeroangkasa, maritim dan pengangkutan darat.
Sementara itu, semasa lawatan kerja rasmi yang turut dihadiri Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud itu, perbincangan turut diadakan bersama Airbus Aircraft. Pertemuan kedua belah pihak tersebut menyaksikan Airbus turut ditawarkan untuk membuka final assembly line mereka di negara ini khususnya di Subang.

“Kemudahan yang ada di ne­gara ini sudah tentu amat kondusif kepada Airbus de­ngan prasarana sedia ada se­perti kepakaran dan akses yang diperlukan termasuk tenaga mahir yang dilahirkan oleh UniKL MIAT di kampus Su­bang,” kata Ismail Sabri.
Selain dari itu, perbincangan turut diadakan bersama Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Ibrahim Abdullah ber­kenaan potensi kerjasama dan penerokaan bidang–bidang baharu oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah khasnya dan agensi–agensi di bawahnya.

Perjumpaan bersama pelajar–pelajar tajaan MARA di sekitar Nice, Perancis juga telah diadakan dan berjaya mendapatkan penglibatan aktif mereka dalam memberi sumbangan dan perkongsian idea terutamanya berkenaan Tansformasi Nasio­nal 2050 (TN50).

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/kerjasama-unikl-rakan-strategik-diperkukuh-1.491183

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.