Mara bantu usahawan bumiputera dalam projek pembangunan Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan bertanyakan sesuatu kepada Veteran UMNO, Tan Sri Azmi Khalid (kanan) ketika beramah mesra dengan para tetamu selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih anjuran Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020 malam tadi. Turut berangkat Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. – BERNAMA

KANGAR 7 Jun – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membantu usahawan Bumiputera merebut peluang ekonomi daripada projek-projek berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) menerusi projek pembangunan negeri yang dirancang kerajaan Perlis.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara Zulfikri Osman berkata, pihaknya mengikuti setiap perkembangan projek pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) khususnya sebagai hab logistik di samping Bandar Kangar dan Kuala Perlis.

“Dalam hubungan ini, Mara akan terus bekerjasama dan menyokong hasrat kerajaan negeri…kini kita giat mengenal pasti usahawan-usahawan berpotensi untuk diberi latihan dan membantu mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada Bernama di sini, malam tadi.

Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa dan sembahyang tarawih bersama Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta jabatan-jabatan kerajaan peringkat negeri di Dewan 2020.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Hamdan Bahari serta anggota-anggota Exco kerajaan negeri turut hadir.

Zulfikri berkata, Mara menyediakan ekosistem pembangunan keusahawanan yang lengkap meliputi pelbagai jenis bantuan kewangan mengikut keperluan usahawan serta pembangunan dan latihan modal insan bermula sebelum mereka menjadi usahawan dan setelah menceburi bidang tersebut.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan bantuan Skim Pembiayaan Mudah Jaya dan Skim Kontrak Ekspres Mara berjumlah lebih RM700,000 kepada lima usahawan Perlis.

Tuanku Tengku Fauziah pula berkenan menyampaikan surat tawaran memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau kepada enam anak asnaf di Perlis serta sumbangan kepada golongan miskin sempena Ramadan.

Menurut Zulfikri, MRSM Arau yang bakal beroperasi Julai ini akan mengambil kumpulan pertama seramai 150 pelajar tingkatan satu dan 150 pelajar tingkatan tiga. MRSM itu ialah yang kedua di Perlis selepas MRSM Beseri di Kangar. – BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mara-bantu-usahawan-bumiputera-dalam-projek-pembangunan-perlis-1.490558#ixzz4jQcDWPwx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.