Tiada pelajar Malaysia terjejas – MARA

ANGGOTA keselamatan Mesir berkawal di hadapan sebuah bangunan kediaman bertingkat yang condong di Alazarita di Alexandria. – Foto EPA

KUALA LUMPUR : Tiada pelajar Malaysia terjejas susulan insiden sebuah bangunan 12 tingkat di tengah bandar Iskandariah, Mesir condong sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penghuni sekitarnya.

Insiden bangunan condong itu berlaku pada Khamis lalu, di kejiranan Al Azarita di tengah bandar Iskandariah dan berhampiran Universiti Alexandria, yang menempatkan ramai pelajar Malaysia.

Jurucakap Atase Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Mesir, ketika dihubungi menyatakan tiada pelajar Malaysia yang menetap di bangunan condong itu.

Katanya, ada sebahagian pelajar menetap di bangunan berhampirannya, namun ketika ini kebanyakan mereka sudah diarah keluar dan sebahagian besar juga tiada di sana kepada sudah pulang ke Malaysia.

“Tiada pelajar kita yang menghuni bangunan yang runtuh itu. Bangunan di hadapan yang menahan bangunan condong itu, ada pelajar kita menghuni di sekitarnya.

“Tetapi kebanyakan pelajar yang menghuni kawasan ini sudah pulang ke Malaysia kerana ketika ini cuti akhir penggal,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kebajikan Perubatan Cawangan Iskandariah, Wan Nur Insyirah Ilhami Wan Anuar, berkata ada pelajar yang menetap di kawasan itu sudah diarahkan berpindah sementara.

“Mereka kini menumpang di kediaman rakan atau mencari tempat tinggal lain,” katanya turut memaklumkan insiden itu berlaku berhampiran dengan Fakulti Pergigian Universiti Alexandria.

Beliau berkata, ketika ini pelajar perubatan masih dalam fasa peperiksaan, sementara pergigian sudah mula bercuti semester.

Sejak beberapa hari lalu, tersebar gambar di media sosial memaparkan sebuah bangunan bersandar di bangunan bersebelahan di sebatang jalan sempit.

Pihak berkuasa Mesir juga sudah memindahkan penduduk di kedua-dua bangunan dan penghuni lain di daerah itu, bagi membolehkan kerja meruntuhkan bangunan condong dilakukan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/289900?m=1

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.