UniKL tawar Program Asasi

PROGRAM Teknologi Kejuruteraan Kimia ditawarkan di UniKL MICET.

TIDAK semua pelajar berpeluang menyambung pe­ngajian ke peringkat ijazah walaupun mendapat keputusan cemerlang ekoran persaingan sengit antara mereka.

Oleh itu, ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil langkah memilih mengikuti Program Asasi kerana ia dikatakan laluan mudah untuk mendapat tempat bagi menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Pengarah Pusat Pengajian Persediaan UniKL, Muhammad Nadzri Abdul Aziz berkata, Program Asasi bukan sahaja memberi jaminan pelajar akan diserapkan terus ke peringkat ijazah di universiti tersebut, tetapi yang lebih utama mereka telah mendapat pendedahan awal tentang bidang pengkhususan pengajian yang diminati.

Beliau berkata, Program Asasi sebenarnya adalah laluan tepat bagi pelajar yang ingin terus mengikuti program peringkat ijazah. Program Asasi UniKL mengambil masa selama setahun sahaja berbanding tiga tahun untuk program diploma.

“Di UniKL, kami menawarkan tiga Program Asasi iaitu Asasi Sains dan Teknologi, Asasi Perniagaan serta Asasi Sains yang masing-masing mempunyai ke­lebihan tersendiri.

“Antara kelebihannya adalah mereka boleh memilih mana-mana kursus atau jurusan yang terdapat di UniKL dan pihak kami akan memberi lebih keutamaan kepada pelajar Program Asasi UniKL,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Nadzri berkata, pelajar bagaimanapun perlu memperoleh Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) 2.5 ke atas untuk membolehkan mereka memilih mana-mana kursus yang terdapat di UniKL.

Setakat ini, UniKL menawarkan lebih 130 program di 12 kampusnya di seluruh Malaysia, katanya.

Semua program yang ditawarkan itu telah mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bagaimanapun, katanya, permohonan ke UniKL semakin meningkat kerana keunikan dan keistimewaan program-program yang ditawarkan di universiti itu yang sesetengahnya pengkhususan tidak ditawarkan oleh mana-mana institusi di negara ini seperti kursus kejuruteraaan aviasi dan marin.

Katanya, UniKL juga diminati kerana mengamalkan sistem pembelajaran secara hands-on bagi melengkapkan graduan dengan kemahiran berfikir menerusi pengalaman dan pengamatan.

“Namun, mereka tidak perlu bimbang kerana kami memberi jaminan bahawa 100 peratus pelajar akan diserapkan ke UniKL sekiranya mereka memilih untuk memasuki universiti ini,” kata­nya.

Beliau berkata, untuk memudahkan pelajar, mereka akan diberikan senarai kursus yang terdapat di UniKL sebaik mendaftar kemasukan ke program asasi.

Jelasnya, pelajar dibolehkan membuat tiga pilihan kursus mengikut minat masing-masing. Bagaimanapun, sebelum itu pihak UniKL akan mengadakan beberapa program untuk memberi taklimat berkaitan program-program yang terdapat di UniKL.

Tambahnya, pelajar juga diberi peluang untuk bertemu de­ngan bekas pelajar Program Asasi UniKL untuk mendapatkan lebih pendedahan tentang kehidupan di kampus.

“Kami juga akan membuat lawatan ke kampus-kampus pilihan mereka bagi memastikan mereka membuat pilihan yang tepat.

“Setiap pelajar juga berpeluang bertemu dengan kaunselor bagi mengetahui kecenderungan mereka sebelum memilih kursus untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah,” katanya.

Tambah beliau, jika pelajar memilih untuk menyambung pengajian di UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology di Sepang (UniKL MIAT), mereka dikehendaki menghadiri temuduga terlebih dahulu.

Muhammad Nadzri berkata, permohonan ke program asasi masih dibuka kepada lepasan SPM bagi pengambilan Mei 2017 dengan yuran pengajian yang berpatutan.

Katanya, bagi pelajar yang bera­da di luar Lembah Klang, mereka boleh mendapatkan pakej menarik yang turut menyediakan kemudahan pengi­napan untuk pelajar.

Beliau berkata, untuk mengikuti Program Asasi UniKL, pelajar perlu memiliki enam kredit iaitu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan dua kredit dalam mana-mana mata pelajaran Sains (Fizik dan Kimia) atau (Biologi dan Kimia).

Bagi pelajar-pelajar lepasan SPM dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Imtiaz dan lain-lain yang ingin mengikuti program asasi, mereka boleh menyambung pengajian di dalam program Teknologis Huffaz di kampus UniKL yang terpilih selepas tamat pengajian tersebut.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/unikl-tawar-program-asasi-1.488771

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.