PEB mahu lahirkan ramai usahawan cemerlang

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto Mohd Fadli Hamzah

BERA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, akan memfokuskan usaha mewujudkan lebih ramai usahawan Bumiputera menerusi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah sasaran utama pihaknya bagi meneruskan kecemerlangan mencapai 100 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan PEB pada tahun lalu.

“Kita akan bekerja keras memastikan KPI berkenaan dapat dikekalkan pada tahun ini, apabila membabitkan ekonomi Bumiputera kita fokus kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang cemerlang.

“Kita akan pastikan sasaran ditetapkan dapat dicapai menerusi agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) seterusnya meneruskan agenda lain seperti perumahan generasi kedua,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada asnaf sekitar Parlimen Bera di sini, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan lapan kementerian mencapai sasaran 100 peratus KPI ditetapkan PEB bagi tahun lalu.

Kementerian itu ialah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Luar; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, usaha keras Perdana Menteri berjumpa pemimpin tertinggi dunia untuk meminta pembelian komoditi menjadi antara faktor utama kepada peningkatan bayaran dividen pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil (RISDA) daripada RM94.589 juta tahun lalu kepada RM106.81 juta pada tahun ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/289575?m=1

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.