Graduan ceburi bidang ternakan

Berani mencabar diri selepas gagal dapat tawaran sebarang pekerjaan

IPOH 4 Jun – Memilih kerjaya yang ja­uh berbeza daripada yang dipelajari di institut pengajian tinggi tidak pernah meletakkan Mior Muhammad Sollehin Mior Burhanuddin, 25, dalam situasi kesal mahu pun kecewa.

Malah, graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Teknologi Maklumat) dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berani mencabar diri apabila memilih bidang ternakan sebagai punca pendapatannya kini.

Meskipun kerjaya itu menyimpang jauh daripada kelulusan akademik yang dimiliki, Mior Muhammad Sollehin kekal memilih untuk memulakan ternakan ayam kampung di atas tanah seluas 0.4 hektar di Kampung Talang, Tanjung Belanja di sini sejak lebih setahun lalu.

Menceritakan penglibatannya dalam bidang itu, Mior Muhammad berkata, semuanya bermula selepas dia menamatkan pengajian di UniKL dan tidak mendapat tawaran sebarang pekerjaan walaupun beberapa kali dipanggil temuduga.

Katanya, bertitik tolak daripada itu, dia meminta keizinan bapanya untuk mengusahakan tanah kosong bagi menjalankan projek ternakan ayam kampung.

Menurutnya, melalui modal sebanyak RM10,000 yang diberikan oleh bapanya, dia mula menjalankan kerja-kerja menyediakan insfrastruktur dan kemudahan lain seperti reban untuk menempatkan ayam kampung.

“Asalnya dulu tanah ini menempatkan 12 kolam ikan keli dan saya ubah suai sebahagian kolam menjadi reban ayam.

“Semasa mula-mula menjalankan projek ternakan pada Januari 2016, saya membawa masuk 200 ekor ayam kampung, namun ia habis dijual sebelum jumlahnya bertambah kepada 300 hingga 500 ekor.

“Dengan keuntungan diperolehi ini, saya menggunakan untuk menambah lagi reban dan sehingga kini, saya mempunyai kira-kira 12,000 ekor ayam kampung, ayam kampung kacuk dan ayam daging,” katanya.

Menurutnya, permintaan terhadap ayam kampung sangat menggalakkan apabila dia mampu membekalkan untuk pasaran di Ipoh hingga Manjung.

Mior Muhammad Sollehin berkata, berdasarkan sambutan dan permintaan diterima daripada pelanggan itu, dia mula yakin melebarkan perniagaan apabila menternak lembu dan kambing pula di kawasan sama.

Katanya, sehingga kini dia mempunyai 38 lembu dan 20 kambing.

“Pelanggan saya bukan hanya di sekitar Ipoh tetapi juga dari Kuala Lumpur dan Selangor. Kebanyakan mereka datang sendiri untuk mengambil bekalan.

“Permintaan sangat bagus kerana sentiasa ada tempahan dan permintaan paling banyak saya terima biasanya semasa musim perkahwinan, bulan puasa dan hari raya,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai perancangan masa depan, Mior Muhammad Sollehin berkata, dia mahu membuka kilang memproses makanan haiwan ternakan yang dimiliki sepenuhnya oleh usahawan bumiputera.

Katanya, setakat ini dia telah pun memiliki kedai memproses ayam di Bota yang mana premis tersebut turut menjual anak ayam dan makanan ayam serta produk rakan-rakan lain yang turut terbabit dalam bidang ternakan ayam.

“Membina kilang untuk memproses makanan haiwan ternakan antara impian saya setelah melihat bidang ini lebih dimonopoli oleh kaum lain. Saya juga mahu ayam dari ladang saya dieksport bukan sahaja untuk pasaran di negara ini malah ke luar negara.

“Sebab itu, jika ditanya sama ada menyesal atau tidak, bagi saya ini adalah rezeki saya yang ditentukan. Mungkin orang kata menternak ayam ini mudah, namun ia bukan semudah disangka.

“Saya pernah alami kerugian apabila ayam mati antara 30 dan 40 ekor sehari, tetapi saya tidak menyerah kalah, malah saya bangkit dan kaji semula masalah, bertanya kepada kawan-kawan dan menghadiri kursus.

“Saya belajar daripada pe­ngalaman dan sekarang Alhamdulillah, rezeki semakin murah dan bertambah dari sehari ke sehari,” katanya.

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/perak/graduan-ceburi-bidang-ternakan-1.489420

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.