
PENGARAH Mena Autowork Enterprise, Fauzi Lebai Bakar memeriksa keadaan kereta di bengkelnya di Kampung Rawa Satu, Sungai Pinang. – Foto Amir Irsyad Omar
GEORGETOWN: Bermula sekadar mekanik separuh masa, kini dia mampu berbangga apabila menjadi antara usahawan Bumiputera yang berani membuka perniagaan dalam bidang automotif di tengah bandar raya ini.
Itu kejayaan dicapai Pengarah Mena Autowork Enterprise, Fauzi Lebai Bakar, 40, selepas menceburi bidang berkenaan sejak 22 tahun lalu sebelum memulakan perniagaan bengkel di kampungnya sendiri pada 1996.
Fauzi berkata, perniagaannya mulai kukuh selepas mendapat geran di bawah Skim Sokongan Pembangunan Usahawan Pertengahan Bumiputera Pulau Pinang yang diberikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2013.

FAUZI Lebai Bakar turut menjalankan tugas sebagai mekanik kereta walaupun sudah mempunyai lapan pekerja tetap di bengkelnya. – Foto Amir Irsyad Omar
Jadi mekanik pada usia 18
“Saya mula menjadi mekanik pada usia 18 tahun selepas mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebelum memulakan perniagaan bengkel membaiki kenderaan dengan modal sendiri sebanyak RM5,000 berdekatan rumah di Bakau Tua, Penaga.
“Selepas memiliki pengalaman 12 tahun berniaga kecil-kecilan, saya cuba mengembangkan perniagaan dan mengambil keputusan berpindah ke Sungai Pinang yang terletak di pusat bandar raya bagi mendapatkan lebih ramai pelanggan,” katanya ketika ditemui BH.
Bagi memulakan perniagaan di tapak baharu, dia mendapat bantuan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) selain turut dibantu Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP).
Fauzi berkata, bantuan pinjaman itu banyak digunakan sebagai modal perniagaan termasuk membeli perkakas dan kelengkapan asas bengkel selain bagi membayar gaji pekerja sehingga perniagaannya benar-benar stabil.
“Perniagaan saya mula meningkat apabila menerima geran dari JPM tiga tahun lalu, bagi membeli pelbagai mesin dan peralatan baharu yang dapat memudahkan kerja membaiki kenderaan yang dihantar ke bengkel.
“PERDA dan MPBPP juga membantu mempromosi bengkel dan saya berterima kasih kerana kerajaan memberi peluang kepada peniaga kecil seperti saya memajukan diri sehingga mampu memiliki syarikat sendiri,” katanya.
Meena Autowork Enterprise kini menawarkan pelbagai perkhidmatan automotif termasuk perunding teknikal, perunding penjagaan kenderaan, pusat latihan pelajar, perkhidmatan tayar serta turut membaiki kenderaan berat seperti bas dan lori.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/287672?m=1