
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, YB Ahmad Jazlan Bin Yaakub (dua dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian pelajar Islam Kemboja pada majlis penyampaian Sijil Program Latihan Teknikal dan Keusahawanan Masyarakat Islam Kemboja
Rembau, 24 Mei: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyambut baik hasrat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu usahasama bagi mengadakan program Latihan Teknikal dan Keusahawanan, khusus dalam pembuatan pakaian untuk beberapa peserta terpilih dari kalangan belia Muslim dari Kemboja.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, YB Ahmad Jazlan Bin Yaakub, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau telah menjadi pilihan untuk mengadakan program tersebut kerana kepakaran institusi tersebut yang menawarkan program diploma seni iaitu reka bentuk fesyen, reka bentuk perabot, reka bentuk media digital, animasi dan reka bentuk dalaman.
”Bersesuaian dengan penubuhan KKTM Rembau sejak 2008 lagi di bawah kluster Seni dan Reka Bentuk program ini menyasarkan tiga jenis modul iaitu Modul Pertama Simple Sewing Project, Modul Islamic Wear dan Basic Trouses, justeru pelbagai jenis hasil jahitan iaitu seperti beg sandang, apron, sarung bantal, jubah, selendang dan seluar panjang dan banyak lagi akan dihasilkan,” katanya.
Ahmad Jazlan menambah, pemilihan modul ini pula mengikut kesesuaian peserta berdasarkan permintaan yang tinggi dalam pasaran selain peserta akan diberi tunjuk ajar mengenai keusahawanan dan strategi pemasaran produk yang telah dihasilkan sepanjang latihan secara dalam talian dan luar talian sebagai pendedahan awal peserta dalam bidang keusahawanan.
”Program ini akan membantu umat Islam Kemboja keluar dari kepompong kemiskinan di samping membuka peluang kepada para pelatih untuk menjalani latihan keusahawanan dan teknikal di Malaysia” katanya.
Ahmad Jazlan turut mengulas, para belia Kemboja yang telah mengikuti kursus selama 8 minggu ini diharap akan dapat menggunakan kemahiran yang mereka pelajari sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal terutamanya dalam bidang reka fesyen dan jahitan bagi memenuhi industri dan keperluan kegiatan ekonomi serta keusahawanan di Kemboja sekaligus mengubah taraf hidup mereka di Kemboja nanti.