MARA Perlis sedia peruntukan RM400,000 untuk graduan ceburi bidang perniagaan

ARAU 22 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggalakkan para graduan yang berminat menceburi bidang perniagaan namun sukar mendapatkan modal untuk menyertai Program Skim Bantuan Usahawan (PUTRA).

Timbalan Pengarah MARA Perlis, Wan Razali Wan Abdullah berkata, dana ini memberi peluang kepada graduan yang baru hendak memulakan atau yang merancang mengembangkan perniagaan mereka sama ada berniaga di premis atau secara dalam talian.

“Skim ini sudah lama diwujudkan sejak tahun 2014 namun masih kurang sambutan kerana masih ramai yang tidak mengetahui adanya kemudahan berkenaan yang menyediakan pinjaman modal sehingga RM10,000 kepada pemohon bergantung kepada keperluan dan jenis perniagaan yang dijalankan.

“Untuk memohon menyertai PUTRA juga sangat mudah iaitu tanpa sebarang bayaran faedah malah syaratnya juga cukup mudah iaitu perniagaan pemohon hanya perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian MARA-UniMAP Entrepreneurial Skills and Talent Initiatives (MESTI 2017) oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal di Kampus UniMAP Pauh Putra di sini, hari ini.

Antara aktiviti dan pengisian MESTI 2017 yang berlangsung hari ini adalah forum berkaitan pembangunan keusahawanan muda dan isu serta cabaran usahawan dalam kalangan pelajar tahun akhir dan bakal graduan universiti itu.

Dalam pada itu, Wan Razali memberitahu, sejak ia diperkenalkan bermula tahun 2014, jumlah permohonan pembiayaan PUTRA yang diterima oleh pihak MARA Perlis amat kecil.

“Secara purata, tidak sampai 100 permohonan yang kita terima daripada graduan sejak program ini mula diperkenalkan pada 2014 sehingga kini.

“Di Perlis kami mempunyai peruntukan dana sebanyak RM400,000 untuk disalurkan kepada mereka yang layak, jadi saya harap lebih ramai lagi graduan dapat merebut peluang yang ditawarkan ini.

Tempoh kelulusan bagi pembiayaan PUTRA ini hanya mengambil masa selama 21 hari untuk diproses selepas permohonan dihantar kepada pihak MARA,” katanya.

Sehubungan itu MARA berharap agar para graduan tidak mensia-siakan kemudahan yang telah disediakan dan bagi yang berminat boleh menghubungi MARA Perlis di talian 04-976 1726 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut. – BERNAMA

Sumber:https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/mara-perlis-sedia-peruntukan-rm400-000-untuk-graduan-ceburi-bidang-perniagaan-1.484731

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan, Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.