
Kebanggaan GMI dan MARA – Adibah Halilah dengan sijil anugerah pendidik terbilang GMI di Anugerah Pendidik MARA 2017 baru-baru ini.
KAJANG, 18 Mei 2017 – Kita seringkali mendengar kisah semangat guru-guru cemerlang yang mendidik pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan pendalaman dan jauh dari kepesatan kotaraya. Tetapi bagaimana pula kisah seorang guru yang dibesarkan diluar negara hampir separuh usianya dan kini pulang ke tanahair untuk mendidik anak-anak bangsa dengan penuh dedikasi?
Inilah kisah Adibah Halilah Abd Mutalib, 38 tahun, seorang Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di German-Malaysian Institute (GMI). Beliau mula berkhidmat dengan GMI, sebuah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) sejak tahun 2010 iaitu setelah kembali ke tanah air dari Kanada .
Menurut Adibah, beliau berpindah ke luar negara atas tuntutan kerja bapanya seawal usia beliau 2 tahun bermula di Amerika Syarikat dan berakhir di Belgium. Pendedahan sewaktu bersekolah di luar negara menjadikan beliau sangat mencintai dunia perguruan. Bahkan kata Adibah, “Saya ialah graduan Microbiologist tetapi kecintaan kepada bidang pendidikan menjadikan saya mengambil sijil dan Sarjana dalam bidang Pendidikan dan mengkhusus dalam Pengajaran Bahasa Inggeris.”
Senario penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar juga menjadikan Adibah tekad untuk membantu negaranya khususnya anak-anak Melayu yang jauh ketinggalan dalam penguasaan bahasa ini. Katanya, “Pelajar-pelajar kita sangat bijak tetapi penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah menyukarkan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di peringkat pendidikan dan juga pekerjaan. Justeru pendedahan yang saya terima sewaktu menetap di luar negara saya kongsikan dengan pelajar-pelajar saya di GMI.”
Menurutnya, di GMI pelbagai latar belakang pelajar yang ditemuinya dan ini menjadikan modul pengajaran Bahasa Inggeris perlu dipelbagaikan bagi mendapatkan impak yang tinggi di kalangan pelajar. Petua yang Adibah amalkan cukup mudah – pujuk dan dekati pelajar dengan sepenuh jiwa. “Silibus kaedah pengajaran di GMI yang menerapkan 4 Cs – Communication (Komunikasi), Colloboration (Koloborasi), Critical Thinking (Pemikiran Kritis) dan Creativity (Kreativiti) membantu kami tenaga pengajar mencapai matlamat penguasaan bahasa ini dengan lebih mudah”.
Baginya, kepuasan sebagai pendidik ialah apabila menerima kiriman SMS dari bekas pelajarnya dan menyatakan penghargaan mereka kepada didikan yang dicurahkannya sewaktu mereka belajar di GMI dahulu. “Saya cukup bersyukur jika saya dapat memainkan peranan dalam kehidupan mereka, apabila saya kenang kembali kerana sebahagian besar pelajar-pelajar saya telah pun mencapai cita-cita mereka di usia yang muda dan juga punya pendapatan yang lumayan. Satu sahaja pesan saya untuk semua bekas pelajar-pelajar saya, jadikan kerja sebagai satu ibadah,” pesan Adibah dalam nada yang lembut.
Setiap kenangan manis pasti ada juga yang pahitnya. Adibah berkongsi rasa sedih apabila pada tahun 2012, beliau kehilangan seorang pelajar cemerlangnya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser yang dihidapi lebih empat (4) tahun. Menurut Adibah, arwah sangat akrab dengannya dan sering berkongsi cerita tentang perasaan dan cita-citanya untuk habiskan pengajian di GMI tetapi Allah SWT lebih menyayanginya.
“Sebenarnya, sepanjang berkhidmat di GMI, saya lihat apa yang dirasakan oleh arwah adalah satu perasaan yang sama dikongsi oleh semua pelajar di GMI iaitu kesungguhan dan minat mendalam dalam kejuruteraan. Mungkin ini adalah hasil dari imbangan praktikal dan teori yang sangat efektif. Contohnya, GMI memberi penekanan subjek Tanggungjawab Sosial Korporat dalam membina sahsiah pelajar. Mereka akan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja sukarelawan. Ini memberi impak positif kepada diri dan jiwa pelajar. Begitu juga dengan subjek Keusahawanan kerana generasi baharu ini saya lihat memang sangat suka berniaga dan moga trend ini melahirkan lebih ramai generasi pencipta kerja, in sha Allah’.
Itulah jiwa seorang pendidik, mengutamakan pelajar-pelajar dan hanya mahu yang terbaik untuk mereka. Semoga MARA dan GMI akan melahirkan lebih ramai pendidik begini kerana tanpa pendidik , matilah generasi kita.
Tahniah Adibah Halilah Abdul Mutalib – anda permata GMI.