MSEAD peneraju bangsa keusahawanan

AZHAR ABDUL MANAF

KUALA LUMPUR 17 Mei – Pelaksanaan model pendidikan keusahawanan, MARA Startup and Accelerator Edupreneur Model (MSEAD) memberi impak positif kepada pelajar dan graduannya melalui penyelarasan yang lebih sistematik.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, MSEAD berupaya melahirkan graduan holistik bercirikan keusahawanan dan se­imbang dalam konteks Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) 2015-2025 dan Pelan Strategik MARA.

Katanya, pelaksanaan model pen­didikan keusahawanan itu akan dilakukan di semua Institusi Pendidikan MARA (IPMa) se­cara bersepadu yang membabitkan sektor keusahawanan dan pelaburan.

“Usaha ini selaras dengan objektif MARA untuk meningkatkan bilangan pelajar dan lepasan IPMa di bidang keusahawanan korporat, teknousahawan, peruncitan, pembuatan dan kontraktor berwibawa dengan penambahan kapasiti usahawan daripada lepasan pelajar IPMa yang berkecimpung dalam aktiviti keusahawanan melalui pro­gram peningkatan dan pengembangan,” katanya.

MSEAD merupakan satu sinergi sektor ke­usahawanan dan sektor pendidikan untuk melahirkan lebih ramai pemberi kerja berbanding pencari ker­ja.

MSEAD berpandu­kan kepada empat konsep utama iaitu penyatuan antara sektor keusahawanan dan sektor pendidikan sehingga dapat mencetus MARA sebagai satu organisasi berasaskan keusahawanan, penerapan subjek keusahawanan ke dalam sistem pendidikan yang sedia ada, memenuhi keperluan industri dan mempunyai nilai-nilai futuristik, relevan dan terkini.

Tambah Azhar, konsep utama yang diterapkan menerusi MSEAD adalah sinergi antara sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan bagi membentuk organisasi keusahawanan selain memenuhi keper­luan industri dalam menentukan bidang baharu yang boleh dice­buri.

“MSEAD juga mem­beri fokus kepada penggunaan teknologi baharu di dalam sistem pendidikan melalui platform perniagaan digital dan teknologi pendidikan serta kewangan, selain pelbagai kemudahan diperuntukkan bagi memupuk budaya keusahawanan dalam menarik lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar IPMa,” jelasnya.

Katanya, melalui fasa pendidikan menengah, pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan didedahkan dengan pembudayaan keusahawanan melalui pendidikan perniagaan secara dalaman yang memberi motivasi untuk berniaga dan juga simulasi pengurusan syarikat dan kewa­ngan.

“Bagi fasa tertiari, pelajar dari kesemua institusi IPMa yang tidak bertaraf universiti akan disa­ran untuk menyelami dunia usahawan sebenar melalui program seperti menjalankan perniagaan ketika belajar, latihan industri bersama usahawan dan inkubator teknousahwan turut dijalankan bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi dunia perniagaan sebenar,” ujarnya.

Jelasnya, antara program yang dijalankan untuk fasa tertiari adalah program Mobile Technical Services, Mobilepreneur, E-Usa­hawan, Sinergi Teknousahawan, Jaringan Usahwan Teknikal MARA (JUTA) Millionaire Hub dan Business Pitching.

“Fasa universiti pula memberikan fokus kepada graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melalui program Genesis iaitu langkah pembudayaan, pengwujudan dan peningkatan dilaksanakan bagi membentuk usahawan yang lengkap dari segi persediaan untuk menghadapi dunia sebenar.

“Antara program yang bakal dan telah diadakan adalah program Teknoputra, Nasi Lemak The O (NLTO), Persatuan Usahawan Pelajar (SEA), Business Pit­ching dan Entreprenuer Industrial Partnership (EIP),” katanya.

Azhar turut menambah, dalam memperkasakan budaya keusahawanan dalam pendidikan MARA, alumni IPMa juga diberikan peluang melalui sokongan seperti penyediaan latihan, pembiayaan dan penyediaan premis untuk membantu mereka menceburkan diri dan mengembangkan perniagaan yang sedia ada oleh MARA.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/msead-peneraju-bangsa-keusahawanan-1.482797

This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.