
Menteri KKLW, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob (dua dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran MARA Startup and Accelerator Edupreneur Model (MSEAD) semasa Sambutan Hari Pendidik MARA 2017.
Kuala Lumpur, 16 Mei – Pelaksanaan model pendidikan keusahawanan, MARA Startup and Accelerator Edupreneur Model (MSEAD) di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) memberi impak positif kepada pelajar dan graduannya melalui penyelerasan lebih sistematik.
Malah, ia berupaya melahirkan graduan holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang dalam konteks Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) 2015-2025 dan Pelan Strategik MARA.
Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, pelaksanaan MSEAD akan dilakukan di semua IPMa secara bersepadu yang membabitkan sektor keusahawanan dan pelaburan.
“Usaha ini selaras dengan objektif MARA untuk meningkatkan bilangan pelajar dan lepasan IPMa di bidang keusahawanan korporat, teknousahawan, usahawan peruncitan, usahawan pembuatan dan kontraktor berwibawa, yang mana penambahan kapasiti usahawan daripada lepasan pelajar IPMa yang berkecimpung dalam aktiviti keusahawanan mealui program peningkatan (Growth) dan pengembangan (Groom Big),” katanya.
Azhar mengulas, konsep utama yang diterapkan manerusi MSEAD, antaranya adalah sinergi antara sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan bagi membentuk organisasi keusahawann selain memenuhi keperluan industri dalam menentukan bidang baru yang boleh diceburi, di mana ia memastikan bagi mendapat peluang lebih baik dalam pelaburan dan kurikulum yang bersifat futuristik, relevan dan terkini yang melangkaui entrepreneurial age.
“MSEAD juga memberi focus kepada penggunaan teknoloi baru di dalam sistem pendidikan melalui platform perniagaan digital dan teknologi pendidikan serta kewangan, yang mana pelbagai kemudahan diperuntukkan bagi memupuk budaya keusahawana, untuk menarik lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar IPMa,” kata beliau.
Azhar berkata, melalui fasa pendidikan menengah, para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan didedahkan dengan pembudayaan keusahawanan di mana pelajar akan dididik untuk menjalankan perniagaan secara dalaman, memberikan motivasi kepada pelajar untuk berniaga dan juga simulasi pengurusan syarikat dan kewangan.
“Bagi fasa tertiari, para pelajar dari kesemua institusi pendidikan MARA (IPMa) yang tidak bertaraf universiti akan disaran untuk menyelami dunia usahawan sebenar, di mana program seperti menjalankan perniagaan ketika belajar, latihan industri bersama usahawan dan inkubator teknousahawan dijalankan bagi memastikan para pelajar bersedia untuk berhadapan dengan dunia perniagaan sejurus tamat pengajian,”ulas beliau.
Azhar berkata antara program yang telah dijalankan untuk fasa tertiari adalah program Mobile Technical Services, Mobilepreneur, E-Usahawan, Sinergi Teknousahawan, Jaringan Usahawan Teknikal MARA (JUTA), Millionaire Hub dan Business Pitching.
“Fasa universiti pula memberikan fokus kepada graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan program Genesis di mana langkah pembudayaan, pengwujudan dan peningkatan dilaksanakan bagi membentuk usahawan yang lengkap dari segi persediaan untuk menghadapi dunia sebenar.
Antara program yang bakal dan telah diadakan adalah program Teknoputra, Nasi Lemak The O (NLTO), Student Entreprenuer Association (SEA), Business Pitching dan Entreprenuer Industrial Partnership (EIP),” katanya.
Azhar turut menambah, dalam memperkasakan budaya keusahawanan dalam pendidikan MARA, para alumni IPMa juga diberikan peluang di mana MARA akan terus memberikan mereka sokongan seperti penyediaan latihan, pembiayaan dan penyediaan premis untuk membantu mereka menceburkan diri dan mengembangkan perniagaan yang sedia ada.