Tahniah! Pelajar MRSM juarai syarahan agama kebangsaan

Nur Izzah Khairiyah Jasni, 17, menunjukkan piala johan Pertandingan Syarahan Agama Peringkat Kebangsaan yang dimenanginya bersama ibu bapanya, Jasni Abd Rahman, 64 dan Ramlah Amin, 52 di Majlis Tadarus al-Quran Sekolah Kementerian Pendidikan (MTQSSKPM) di Dewan Wawasan Institut Perguruan Guru (IPG) Kota Bharu. FOTO JASNI ABD RAHMAN

PELAJAR Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka, Nur Izzah Khairiyah Jasni, 17, diumum sebagai johan Pertandingan Syarahan Agama Peringkat Kebangsaan di Kota Bharu.

Nur Izzah berkata, pada 2012 dia menyertai pertandingan sama, namun tidak layak ke peringkat kebangsaan.

Katanya, abangnya, Mohd Amirullah Jasni, 26, yang sebelum ini pernah menjadi johan dalam pertandingan Syarahan Agama pada 2008 menjadi sumber inspirasinya untuk berjaya hari ini.

“Pada masa yang sama, dorongan daripada ibu dan ayah juga menjadi sumber kekuatan saya untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan kali ini.

“Alhamdulillah, segala persiapan dan usaha yang dilakukan untuk menyertai pertandingan ini membuahkan hasil dan saya berjaya mengikut jejak abang memenangi pertandingan sama sebelum ini,”katanya selepas Majlis Penutup Tadarus al-Quran Sekolah Kementerian Pendidikan (MTQSSKPM) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 12 hingga 14 Mei 2017 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Pengkalan Chepa, di sini, tadi.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Nor Hayati L Isa menyampaikan sijil penyertaan dan piala kepadapemenang dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.