Usahawan Berjaya Pada Usia 21 Tahun

MUHAMMAD ZAKUAN MOHD. ZIN menunjukkan plak dan replika cek yang diterimanya dalam majlis Makan Malam Usahawan MARA Kelantan, Kota Bharu.

KOTA BHARU 9 Mei – Minat tinggi kepada bidang perniagaan sejak zaman sekolah menghasilkan laba besar kepada seorang graduan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) yang kini sudah menjadi usahawan berjaya walaupun baru berusia 21 tahun.

Lepasan KKTM Pasir Mas, Muhammad Zakuan Mohd Zin yang juga pemilik Syarikat Ki­jang Arena Sdn. Bhd. mempunyai kedai jersi sukan sendiri di Pasir Mas dan mampu menggaji 12 pekerja sejak tahun lalu.

Muhammad Zakuan berkata, dia baharu sahaja menerima skrol diplomanya selain terpilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Seluruh KKTM di Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan Mara 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hujung April lalu.
“Semasa zaman sekolah di Sekolah Menengah Agama Binjai Manis, Pohon Buluh, Pasir Mas saya berniaga macam-macam.

“Saya tolong orang jual telefon, motosikal dan pelbagai lagi kerana minat sangat berniaga.

“Kemudian apabila melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Rekabentuk di KKTM Pasir Mas saya fokus dahulu belajar sebelum mula berniaga secara serius semasa semester keempat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Makan Malam Usahawan Mara Kelantan di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Muhammad Zakuan menerima Anugerah Usa­hawan Institut Pendidikan MARA dan geran RM15,000 yang telah disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhammad Zakuan yang berasal dari Kampung Banggol Kulim, Pasir Mas berkata, semasa di kolej, dia berniaga secara atas talian untuk mengambil tempahan pelanggan membuat jersi sukan.

“Saya gunakan nama ‘Style Sport Jersey’ ketika itu dan dalam tempoh enam bulan mampu mendapat jualan sehingga RM150,000 dengan purata tempahan 500 baju jersi sebulan,” katanya.

Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, sejak dari semester keempat di kolej itu, dia tidak lagi perlukan duit belanja daripada ibu bapanya sebaliknya mampu menghulurkan wang belanja untuk mereka pula.

Katanya, kini syarikatnya yang mengeluarkan produk di bawah nama ‘Kijang Jersey’ mampu menghasilkan sehingga 2,500 helai jersi setiap bulan.

“Saya bermula dengan modal ‘0’ dan tidak pernah mendapat pembiayaan atau pinjaman mana-mana pihak sehingga ke hari ini.

“Perkara paling penting untuk usahawan adalah ilmu, saya nasihatkan golongan muda supaya lengkapkan diri dengan ilmu pemasaran, jualan dan simpan kira serta jangan mudah terpedaya dengan pujian atau janji orang kepada kita,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/usahawan-berjaya-pada-usia-21-tahun-1.479459#ixzz4gk0Q80Nd

This entry was posted in Pendidikan, Usahawan and tagged , . Bookmark the permalink.