‘German-Malaysian Institute (GMI) Meterai Kerjasama Dengan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC)’

Hilmy Hussain, Ketua Sumber Manusia Industri JPDC dan Ngan Cheng Hwa, Timbalan Pengarah Urusan (Akademik & Latihan) GMI bertukar dokumen sambil disaksikan Izhar Hifnei Ismail Ketua Pegawai Operasi JPDC dan Yusoff Md Sahir Pengarah Urusan GMI

Oleh : Maizul Alleyna
maizul@gmi.edu.my

KAJANG – German-Malaysian Institute (GMI) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) untuk latihan, penyelidikan dan projek konsultansi. Perjanjian tiga tahun ini menyaksikan penglibatan aktif GMI dalam membantu JPDC membangunkan modal insan mereka dalam aspek latihan dan kejuruteraan sektor gas dan minyak di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang atau lebih dikenali sebagai Pengerang Integrated Petroleum Complex di Kota Tinggi, Johor.

JPDC dan GMI bersetuju untuk menjalankan bersama dua program perintis iaitu “Computer Numerical Control (CNC) Program” yang menyasarkan pendaftaran seramai 20 orang pelatih yang juga merupakan graduan lepasan Program Kejuruteraan Mekanikal dan Teknikal. Pada masa yang sama turut menjalankan “Machining Operation (MO) Program” juga menyasarkan pengambilan seramai 20 orang pelatih tahap 2 dan 3 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Bahkan menurut Yusoff Mohd Sahir, Pengarah Urusan GMI, “Kami juga bersetuju untuk menambah program-program di masa hadapan iaitu program jangka panjang dan jangka pendek. Program jangka panjang adalah ‘Dual Vocational Training (DVT) in Process Instrumentation & Control’ bagi tahap 4 atau 5. Sasaran program ini adalah seramai 40 orang lepasan SPM dan akan dijalankan selama 3 hingga 3 setengah tahun. Sementara dua program jangka pendek yang bakal dijalankan pula adalah ‘O&G Process and Instrumentation Certification’ dan ‘SMSCP Siemens Mechatronics System Certification Program’. Kedua-dua program ini menyasarkan pengambilan seramai 30 orang bagi setiap program”.

Majlis ringkas ini menyaksikan kedua-dua organisasi bertukar-tukar dokumen perjanjian sebagai simbolik kerjasama dua hala. JPDC yang diwakili Izhar Hifnei Ismail, Ketua Pegawai Operasi nya juga telah dibawa melihat sendiri fasiliti teknologi kejuruteraan yang ada di GMI. Mereka dibawa ke Pusat Teknologi DMG Mori – CNC Precision Technology dan juga ke German Technology Centre untuk teknologi Injection Moulding. Yusof Md Sahir di dalam ucapannya menyampaikan rasa bangga atas kerjasama ini dan secara tidak langsung mengukuhkan jenama GMI di mata pemain industri utama negara. JPDC adalah subsidiari kepada Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan dipertanggungjawabkan dalam pembangunan sumber manusia dan menjadi entiti terbesar bagi pembangunan projek  minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Ahli Pengurusan JPDC dan GMI bergambar kenangan

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.