IKM Disaran Terus Martabat Pendidikan TVET

KOTA KINABALU – Institut Kemahiran MARA (IKM) disaran untuk terus memberi tumpuan utama dalam memartabatkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan semua golongan muda, khususnya di Sabah, memiliki kepakaran dan kemahiran sesuai dengan permintaan pasaran kerja.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kedua-dua elemen itu amat penting dalam memacu produktiviti tenaga kerja serta meningkatkan lagi taraf hidup rakyat selain berupaya melonjakkan lagi pembangunan seterusnya mentransformasi ekonomi Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus menyokong segala usaha dan initiatif Mara dalam menjayakan program untuk melahirkan modal insan berkualiti serta kompeten dengan meningkatkan penglibatan pelajar Sabah dalam program pendidikan TVET.

“Saya juga menggalakkan generasi muda Sabah untuk memanfaatkan peluang dengan menyertai pelbagai kursus dan program kemahiran ditawarkan IKM Kota Kinabalu kerana ia selaras dengan sektor teras yang terkandung dalam Dasar Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen IKM Kota Kinabalu ke-10 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun yang juga Exco Pendidikan negeri.

Turut hadir, Pengerusi Sementara Mara Datuk Dr Yusof Yacob, Timbalan Pengarah Mara Sabah Abu Sufian Abu Hanipah dan Pengarah IKM Kota Kinabalu Meor Khairy Meor Abdullah Zawawi.

Seramai 579 graduan IKM Kota Kinabalu bagi sesi pengajian 2015-2016 dalam pelbagai bidang menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen itu.

Sejak ditubuhkan pada 2002, IKM Kota Kinabalu melahirkan 2,697 graduan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang kemahiran yang diceburi. – Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/ikm-disaran-terus-martabat-pendidikan-tvet-1.670923

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.