
ISMAIL SABRI YAAKOB bergambar bersama para pelajar pada Majlis Anugerah Pelajar Orang Asli Cemerlang 2016 di Putrajaya, semalam. Utusan/WAHIDAH ZAINAL
PUTRAJAYA 4 MEI – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bercadang membina lebih banyak Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) di setiap zon seluruh negara bagi meningkatkan tahap pembangunan pendidikan masyarakat Orang Asli.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, kerajaan memandang serius pembangunan pendidikan masyarakat luar bandar dan pedalaman khususnya pelajar Orang Asli, oleh itu penubuhan PIPOA adalah langkah yang tepat untuk membantu golongan itu.
Beliau berkata, selain pusat pendidikan itu, kementerian turut mengambil inisiatif untuk meningkatkan tahap pendidikan pelajar Orang Asli dengan memperkemas hubungan dan kerjasama dengan rakan sinergi seperti Kementerian Pendidikan.
“Peranan agensi di bawah kementerian seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga akan terus digembleng bagi meningkatkan akses masyarakat Orang Asli kepada pendidikan secara berterusan sehingga berjaya ke peringkat tertinggi.
“PIPOA adalah inisiatif kementerian untuk meningkatkan tahap pendidikan pelajar Orang Asli.
“Pusat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Orang Asli Cemerlang 2016 di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Ismail Sabri menyampaikan sijil penghargaan kepada 183 pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Menurut Ismail Sabri, PIPOA menyediakan pendedahan awal dan latihan intensif untuk pelajar Orang Asli menghadapi peperiksaan PT3 dan segala kemudahan yang tersedia di pusat intelek tersebut diyakini dapat menjadi wadah bagi melahirkan lebih ramai pelajar Orang Asli yang cemerlang.
“Sekarang, kita mempunyai PIPOA di Rompin, Pahang yang mula beroperasi pada 2012 dan sebuah lagi akan dibuka di Terengganu dalam masa terdekat. Kita juga merancang membuka dua buah pusat lagi di Perak untuk zon utara daan sebuah lagi di Johor untuk zon selatan.
“Sehingga kini, PIPOA di Rompin telah menerima sebanyak 190 orang pelajar.
“Keputusan PT3 pada tahun lalu menyaksikan 21 daripada 27 calon dari PIPOA berjaya mendapat keputusan 5A ke atas sekali gus menunjukkan keberkesanan pusat tersebut,” katanya.
Katanya, kementerian juga telah meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya memastikan sebanyak 15 pelajar Orang Asli dapat dihantar untuk menyambung pengajian ke luar negara setiap tahun.
Menurutnya, pada tahun lalu, kementerian telah memilih 18 pelajar Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran di luar negara bawah tajaan MARA termasuk pemberian biasiswa sepanjang pengajian mereka.
“Sejak program penghantaran pelajar Orang Asli dimulakan pada 2010 hingga tahun lalu, sebanyak 72 orang pelajar telah dihantar untuk melanjutkan pengajian di luar negara. Saya percaya inisiatif ini dapat membakar semangat pelajar lain untuk terus cemerlang.
“Saya juga dimaklumkan sehingga kini terdapat sebanyak 797 pelajar Orang Asli sedang menuntut di universiti awam di negara ini dalam pelbagai jurusan. Jumlah itu membuktikan masyarakat Orang Asli kini mempunyai kesedaran tentang kepentingan pendidikan,” katanya.
Katanya, kementerian juga memandang serius mengenai isu keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli. Oleh itu, JAKOA perlu memberi fokus untuk menurunkan kadar keciciran itu terutamanya dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
“Jika kita lihat statistik kadar keciciran pelajar Orang Asli, terdapat penurunan sebanyak 27 peratus pada 2012 kepada hanya 16.5 peratus pada 2017. Walaupun berlaku penurunan tetapi masih ada yang tercicir, jadi jika boleh kita mahukan mereka semua tamatkan pelajaran masing-masing.
“Untuk capai sasaran ini, usaha dan kerjasama semua pihak terutamanya ibu bapa dan juga guru-guru amat diperlukan. Bagi memastikan sasaran ini berjaya, JAKOA telah mengatur pelbagai aktiviti dan program pendidikan terutamanya bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan.
“Strategi meningkatkan pencapaian akademik pelajar Orang Asli perlu dimulakan sejak sekolah rendah lagi. Ketika ini bagi sekolah 100 peratus Orang Asli terdapat sebanyak 94 buah sekolah rendah dengan 15,971 orang pelajar dan sebuah sekolah menengah Orang Asli yang mempunyai sebanyak 434 pelajar.
Katanya, demi membantu masyarakat Orang Asli mendapatkan pendidikan yang sepatutnya, kementerian pada tahun ini telah memperuntukkan sebanyak RM17.5 juta untuk pengangkutan, bantuan persekolahan dan wang saku pelajar.
Ketika mengulas mengenai Majlis Anugerah Pelajar Orang Asli Cemerlang 2016, Ismail Sabri berkata, semua pihak ketika ini boleh berbangga melihat Orang Asli semakin maju dalam bidang pendidikan dan semakin ramai yang mendapat keputusan memberansangkan.