Warga MARA Terima Anugerah Tokoh Pekerja Negara

Tuan Haji Albakri bin Alias (dua dari kanan) ketika menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara

Oleh Fatin Syahirah Hamzah
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 3 Mei – Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2017 pada tahun ini memberi kenangan manis buat Tuan Haji Albakri bin Alias apabila beliau memenangi Anugerah Tokoh Pekerja Negara bagi kategori Bukan Eksekutif.

Ini merupakan antara sembilan (9) kategori anugerah yang telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Mei 2017.

Anugerah ini adalah khusus kepada pekerja Bukan Eksekutif yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan dan sumbangan ke arah kemajuan pencapaian matlamat syarikat, terlibat secara aktif dalam bidang kebajikan, sosial atau sukan, mempunyai kepimpinan, kemahiran antara perseorangan (inter-personal skills), keterampilan, kemahiran komunikasi, kemahiran berbahasa, kemahiran perundingan (negotiation), berintegriti serta berinovasi dan kreatif.

Tuan Haji Albakri, Penolong Pegawai Latihan Vokasional (Kanan) di Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut, merupakan seorang graduan seni bina IKM Sungai Petani, Kedah (1977-1979) dan pernah bertugas di beberapa buah firma arkitek di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau kemudiaannya telah melanjutkan pengajian di Sam Houston State University, Huntsville, Texas, America (education pedagogy) dan di Swansea Institute of Higher Education, Wales, United Kingdom (HND Design Technology).

Selain itu beliau juga pernah mengikuti kursus penyeliaan tapak (bangunan dan arkitek) anjuran CIDB tahun 2008 dan kini merupakan salah seorang pakar industri negara (JPK) dalam bidang bangunan dan pembinaan.

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MARA sebanyak empat (4) kali ini turut menerima Sijil Penghargaan Cemerlang sebanyak 10 kali pada Sambutan Hari Q dan Hari Inovasi MARA dari tahun 2000 hingga 2015. Ini merupakan antara bukti kecemerlangan perkhidmatan yang telah beliau lakarkan sepanjang kerjaya bersama MARA.

Sepanjang berkhidmat selama 33 tahun dengan MARA, Tuan Haji Albakri turut menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan seperti berikut:

1. Anugerah Belia Negara 2000 (Kategori Seni Budaya) Peringkat Kebangsaan 2000
2. Anugerah Pekerja Cemerlang 2010 Sempena Hari Pekerja 2010 Peringkat Kebangsaan 2010
3. Anugerah Inovasi Negara 2014 (Finalis)  Peringkat Kebangsaan2014
4. Anugerah Harta Intelek Negara 2015 Sempena Hari Harta Intelek Negara Peringkat Kebangsaan (Pingat Gangsa) 2015
5. Pingat Gangsa – International Innovation, Design & Articulation (i-IDeA 2013) Anjuran Univ. Tekno. MARA 2013
6. Pingat Perak – 25th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2014)
Anjuran Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi 2014
7. Pingat Gangsa – Malaysia Technology Expo 2014 Anjuran Malaysian Association of Research Scientists 2014
8. Pingat Emas – National Innovation & Invention Competition Through Exhibition 2015 (iCompEx’15) 2015
9. Pingat Emas – 6th Apprentice Innovation & Research Exhibition 2016 Anjuran UniKL (MIMET) 2016
10. Best Award – Research / Academician – 6th Apprentice Innovation & Research Exhibition 2016 Anjuran UniKL
(MIMET) 2016
11. Pingat Emas – National Innovation & Invention Competition Through Exhibition 2017 (iCompEx’17) 2017
Minat yang mendalam dalam bidang seni menjadikan Tuan Haji Albakri seorang jurulatih bertauliah dalam mengajar muzik tradisional dan beliau turut menjadi jurulatih seni budaya kebangsaan dan Negeri Perak dalam bidang yang sama, selain sering dijemput bagi menghakimi pertandingan-pertandingan muzik tradisional (Kompang) di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged , , . Bookmark the permalink.