Pelajar MRSM ungguli pertandingan INFOMATRIX di Romania

EMPAT pelajar dari MRSM Kubang Pasu Muhammad Khalis Irfan Khairuddin (kiri), Amir Hazim Zulhazmi (2 kiri) dan MRSM Langkawi Muhammad Faris Izzuddin Mat Rodzi (2 kanan), Muhamad Sohail Lal Lal Muhamad (kanan) berjaya meraih pingat Emas dan Gangsa pada pertandingan Projek Informatik Antarabangsa 2017 (Infomatrix) di Bucharest Romania. – Foto Saifullizan Tamadi

SEPANG: Empat pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kubang Pasu dan Langkawi mengharumkan nama negara apabila memenangi Pertandingan Projek Informatik Antarabangsa (INFOMATRIX) di Bucharest, Romania, baru-baru ini.

Mereka yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebentar tadi, disambut Timbalan Pengarah Kokurikulum Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Shahrizal Mohd Saderi. Pada pertandingan yang berlangsung 27 April hingga semalam, Malaysia berjaya memenangi pingat emas dan gangsa menerusi kategori filem pendek dan robotik.

Pelajar MRSM Kubang Pasu, Amir Hazim Zulhazim, 16, dan Muhammad Khalis Irfan Khairudin, 16, merangkul pingat emas dalam kategori filem pendek menerusi karya bertajuk ‘The Lost’ yang menewaskan peserta dari 45 negara. Pelajar MRSM Langkawi pula merangkul pingat gangsa melalui kategori robotik ciptaan Muhamad Sohail Lal Lal Muhamad, 16, dan Muhamad Faris Izzuddin Mat Rodzi, 16, yang diberi gelaran ‘Mini Sumo’. Muhammad Khalis ketika berkongsi kegembiraan itu berkata, filem bertemakan adiwira yang diketengahkan itu memiliki keistimewaan tersendiri dengan menerapkan penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) dan 3D.

“Banyak cabaran yang perlu kami tempuh untuk menghasilkan filem ini termasuk faktor masa dan konsep yang sesuai dengan tema pertandingan. “Saya bangga kerana filem kami ini berjaya menewaskan penyertaan daripada 45 negara lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

INFOMATRIX adalah program tahunan anjuran Institusi Pendidikan Lumina, Kementerian Pendidikan Nasional Romania dan Lembaga Pendidikan Bucharest (ISMB) bagi menggalakkan golongan muda menggunakan imaginasi, semangat dan kreativiti mereka dalam bidang komputer dan robotik. Sebanyak lima kategori dipertandingkan pada pertandingan lima hari itu iaitu pengaturcaraan, seni komputer, kawalan perkakas, filem pendek dan robotik.

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/278264?m=1

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.