Makanan jadi tular temui orang ramai

Mohamad Akmal (kiri) melihat Ayam Pasu Bakar Terlangkup yang sedang dibakar

SEREMBAN – Fiesta Food Viral 1.0 menampilkan makanan yang menjadi tular dalam laman sosial mendapat sambutan hangat apabila berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM75,000.

Berlangsung selama tiga hari di Plaza Seremban MARA, di sini, bermula Jumaat lalu, program anjuran Persatuan Usahawan Premis Seremban Plaza (Puspaza) itu disertai 18 usahawan yang menjual makanan.

Pengarah MARA negeri, Mumfahir Suparja berkata, sepanjang pesta itu berlangsung, dianggarkan lebih 4,000 pengunjung hadir.

“Program ini kita anjurkan bagi mempromosikan lagi premis ini kepada masyarakat luar. Kita mahu orang ramai tahu pelbagai usahawan, produk dan jualan dijual dalam bangunan Seremban Plaza MARA ini,” katanya.

Berikutan sambutan baik itu, pihaknya turut bercadang menganjurkan program serupa dikenali sebagai Fiesta Food Viral 2.0 pada ambang merdeka, Ogos ini.

“Untuk akan datang, kita akan mempelawa lebih ramai lagi usahawan terutamanya daripada luar Negeri Sembilan untuk memeriahkan lagi Fiesta Food Viral 2.0.

“Selain itu, kita turut merancang untuk mengadakan program sama, namun ditumpukan pada usahawan food truck yang kini sudah menjadi trend dalam perniagaan makanan. Kita rancang untuk buat di dua lokasi iaitu Port Dickson dan Plaza Seremban sekurang-kurangnya pada penghujung tahun ini,” katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Puspaza, Muhamad Zul Affendi Satiman.

Sementara itu, seorang usahawan yang menyertai pesta berkenaan, Anuar Abd Rahman berkata, inisiatif yang dibawa MARA memberi impak sangat positif bukan sahaja kepada penganjur tetapi juga pada usahawan.

Dia yang berniaga Tauhu Sumedang By Armaz berkata, platform disediakan penganjur membantunya mempromosikan produk yang diusahakannya sejak sembilan bulan lalu.

“Sebelum ini, pelanggan hanya tahu Tauhu Sumedang By Armaz dalam laman sosial sahaja, tidak tahu di mana tempat untuk mendapatkannya. Tapi kali ini, mereka boleh datang dan mendapatkan sendiri,” katanya.

Usahawan Ayam Pasu Bakar Terlangkup dari Telok Kemang, Mohamad Akmal Ezad Zamri, pula berkata, dia kali pertama menyertai program sebegini di luar Port Dickson.

“Untuk tiga hari ini sahaja, sebanyak 200 ekor ayam telah dijual,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/makanan-jadi-tular-temui-orang-ramai-1.667884

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.